The Rock lancar produk syampu buat ramai garu kepala

The Rock lancar produk syampu buat ramai garu kepala

 

The Rock lancar produk syampu buat ramai garu kepala

Dwayne “The Rock” Johnson bukan sahaja dikenali sebagai bintang filem dan bekas atlet gusti WWE, tetapi juga usahawan syampu yang berjaya.

Menurut laporan MSN baru-baru ini, nama The Rock kembali menjadi buah mulut netizen selepas produk penjagaan rambut di bawah jenama miliknya, Papatui, ditemui terjual di beberapa kedai.

Seorang pengguna X, @dylanonvinyl, memuat naik gambar syampu dan perapi jenama tersebut.

Beliau keliru dan mempersoalkan mengapa selebriti yang terkenal dengan kepala botak itu menjual produk penjagaan rambut.

Menurut laporan Vanity Fair, pelakon yang kini berusia 50-an ini memilih untuk membotakkan kepala sepenuhnya pada 2010.

Dalam satu hantaran pada 2017, The Rock menjelaskan bahawa dia tidak mengalami masalah keguguran rambut, tetapi mencukur habis rambutnya atas kehendak sendiri.

Namun, bertentangan dengan laporan bahawa produk ini adalah keluaran baharu, syampu dan perapi Papatui sebenarnya telah dilancarkan sejak Mac 2024 semasa pelancaran pertama jenama itu.

Pilihan The Rock untuk memperkenalkan produk penjagaan rambut ternyata mencetuskan pelbagai reaksi.

Ramai netizen keliru, malah ada yang melawak dengan mengatakan mungkin pelakon itu masih mempunyai “rambut di tempat lain”.

Sebilangan pengguna turut berkongsi pengalaman keluarga mereka yang tetap menggunakan syampu dan perapi walaupun tidak mempunyai rambut.

Salah seorang netizen mencadangkan agar The Rock melancarkan produk mencuci kulit kepala dan menamakannya sebagai “Rock Polisher”.

The Rock bukan sahaja terkenal sebagai pelakon serba boleh dalam filem seperti Fast & Furious dan suara watak Maui dalam animasi popular Disney Moana, tetapi juga seorang usahawan yang berjaya.

Pada 2024, beliau melancarkan jenama penjagaan lelaki Papatui, bertujuan mempromosikan kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri dalam kalangan lelaki.

Dalam satu hantaran di Instagram, The Rock menulis, “Walaupun kita jarang bercakap mengenainya, kita semua mahu kelihatan lebih baik dan merasa lebih yakin.”