Terbuka hati ikut jejak anak, Xing Hua terima hidayah peluk agama Islam pada usia 89 tahun

Terbuka hati ikut jejak anak, Xing Hua terima hidayah peluk agama Islam pada usia 89 tahun

 

Kedatangan  bulan Ramadan yang di dalamnya mengandungi 1,001 keberkatan menjadi lebih bermakna apabila seorang lelaki warga emas berbangsa Cina memeluk Islam pada Isnin lalu.

Rakaman video ketika lelaki berusia 89 tahun ini melafazkan dua kalimah syahadah ternyata menyentuh hati orang ramai setelah ia dikongsikan di TikTok.

Menurut pemilik video, Ahmad Shi Rong Xuan, 56, dia amat bersyukur kerana akhirnya bapanya yang datang dari China terbuka hati untuk memeluk Islam.

Menerusi perbualan dengan mStar, Ahmad Shi berkata bapanya, Shi Xing Hua sudah menyimpan hasrat untuk memeluk Islam sejak kecil lagi ketika belajar solat di negaranya, Nanjing, China.

“Masa ayah saya masih kecil, dia belajar solat dekat masjid berhampiran rumah kami. Tapi tidak lama selepas itu, kerajaan tidak membenarkan orang beribadah jadi bapa saya berhenti ke masjid.

“Tetapi kali ini sedikit berbeza apabila ayah datang ke Malaysia untuk melawat saya beberapa hari lalu. Dia terkejut apabila melihat begitu ramai orang di negara ini menyembah Allah yang satu.

“Jadi terdetik di hati dia untuk masuk Islam dan belajar semula solat yang sudah lama dia tinggalkan,” ujarnya yang senang disapa Shi.

Tambah Shi yang memiliki Restoran Cina Muslim Kui Guang Ge di ibu kota, pengislaman bapanya dibantu rakan baiknya sendiri, Imam Ma Peng.

Dalam beberapa video dikongsikan juga, kelihatan bapanya turut belajar mengambil air wuduk ketika hadir di sebuah masjid untuk solat tarawih.

“Bapa saya akan belajar secara perlahan-lahan untuk melakukan kewajipan seperti dalam tuntutan Islam. Buat masa sekarang dia tak boleh lagi berpuasa secara tiba-tiba.

“Kawan saya yang mengajar ayah cara solat dan mendalami ilmu agama serta membantunya memeluk agama Islam,” sambil menambah bakal menyelesaikan prosedur pendaftaran (kemasukan) Islam bapanya pada 29 Mac akan datang.

Bercerita lanjut mengenai perihal diri sendiri, Shi berkata dia memeluk Islam pada tahun 2000 selepas berkahwin dengan pasangannya yang turut berasal dari China.

Namun berbeza dengan situasi yang dihadapi Shi apabila isterinya dilahirkan dalam keluarga Islam.

Kini Shi yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya sudah berada di Malaysia sejak lima tahun lalu bersama isterinya.

Imbas Shi, pengalaman belajar di dalam masjid yang ditinggalkan sejak sekian lama adalah pendorong untuk dia mendekati Islam.

“Setelah meningkat dewasa, akhirnya saya memeluk Islam sebelum berkahwin.

“Saya berharap dengan perkongsian saya ini sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk lebih mengenali agama Islam,” jelasnya.