Terberak dalam teksi, pelancong Israel hanya tawar bayar ganti rugi RM40

Terberak dalam teksi, pelancong Israel hanya tawar bayar ganti rugi RM40
Seorang lelaki warga Israel enggan membayar pampasan kepada pemandu teksi selepas membuang air besar di dalam kenderaan tersebut.
Insiden yang berlaku di hadapan sebuah pusat beli-belah di Utara Pattaya itu memaksa pemandu teksi, Norraphat, 32, mendapatkan bantuan polis bagi menyelesaikan isu tersebut.
Pihak polis dari Balai Polis Mueang Pattaya yang tiba di lokasi mendapati Norraphat sedang bertengkar dengan seorang lagi lelaki Israel, yang merupakan rakan kepada pelaku sebenar.
Sementara itu, individu yang membuang air besar di dalam teksi dilihat berdiri di seberang jalan dengan kesan najis masih kelihatan pada kakinya.
Norraphat menjelaskan bahawa dia mengambil dua pelancong Israel berhampiran pusat beli-belah tersebut untuk menuju ke Soi Buakhao, Selatan Pattaya.
Namun, dalam perjalanan, dia terhidu bau busuk sebelum menyedari salah seorang penumpangnya telah membuang air besar di dalam kenderaan.
Susulan itu, Norraphat segera memberhentikan teksi untuk membersihkan tempat duduk dan meminta pampasan sebanyak 1,500 baht (RM200) bagi kos pembersihan.
Bagaimanapun, kedua-dua pelancong itu enggan membayar jumlah penuh dan hanya mahu memberikan 300 baht (RM40).
Polis akhirnya berjaya mengarahkan penumpang tersebut membuat bayaran seperti yang diminta sebelum mereka beredar dari lokasi.
Ini bukan kali pertama pelancong Israel mencetuskan masalah di Thailand.
Sebelum ini, empat lelaki Israel didenda 3,000 baht setiap seorang kerana mengganggu operasi sebuah hospital di utara Thailand dengan memasuki bilik kecemasan tanpa kebenaran.
Pada November tahun lalu, seorang penunggang teksi motosikal di Bangkok berkongsi di media sosial mengenai seorang penumpang yang dipercayai transgender telah membuang air kecil di tempat duduknya sebelum enggan membayar tambang.