Tarif elektrik naik, ini penjelasan PM Anwar
Tarif elektrik naik, ini penjelasan PM Anwar
Kerajaan tidak menolak kemungkinan tarif elektrik akan naik selepas Julai depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, keputusan itu perlu dilakukan kerana kenaikan harga harus berlaku mengikut kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
“Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik itu bukan 14 peratus. Tidak!
“Seperti yang anda tahu, kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Jadi, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat. Kami bersedia untuk mendengar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara, hari ini.
Jelas Anwar, keputusan itu perlu dibuat memandangkan harga (tarif) perlu meningkat mengikut kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
“Namun, sudah pasti ia bukan seperti yang dikatakan. Itulah sebabnya saya baru sahaja menyemak dengan (Datuk Seri Tengku) Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sekiranya saya tersilap fakta,” katanya.
Anwar sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang akan membebankan rakyat terbanyak.
Jelas Anwar, sebarang kenaikan tarif elektrik tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat dan peningkatan kos kepada mereka.
Media sebelum ini melaporkan, TNB mencadangkan jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai, 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada 26 Disember berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” kata TNB.
TNB berkata, kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3 peratus seperti di bawah RP3 dan ini akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.