Tangguh buka sekolah hingga tahun depan

Tangguh buka sekolah hingga tahun depan

 

Pembukaan sekolah bulan depan dikhuatiri boleh mencetuskan gelombang jangkitan Covid-19 yang lebih serius khususnya dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih berbahaya.

Sebaik-sebaiknya, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka itu ditangguhkan sehingga tahun depan iaitu selepas kes Covid-19 semakin terkawal.

Seorang pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, langkah terbaik ketika ini adalah meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), memandangkan penularan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan dengan kes harian pula masih melebihi lima angka.

Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, melihat kepada peningkatan kes Covid-19 selain kemunculan varian-varian lebih bahaya terutama Delta, sudah pastinya menyebabkan ibu bapa risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Selain itu, katanya, sekiranya sekolah dibuka dalam keadaan seperti ini, turut bakal membebankan guru yang perlu mengubah kaedah PdPR kepada bersemuka.

“Selain memberi tekanan kepada ibu bapa yang risau mengenai keselamatan anak-anak, pihak sekolah juga mungkin dipersalahkan jika wujud kluster baharu di sekolah selepas ini.

“Jika sekolah dibuka, risiko penularan mungkin semakin ketara sekali gus mendorong kepada peningkatan kes Covid-19. Situasi seperti itu sangat membimbangkan.

“Pada masa ini, menyelamatkan nyawa adalah lebih penting. Jangan dikeruhkan lagi keadaan yang semakin mendesak ini. Jalan terbaik adalah teruskan PdPR dan terus kekal di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Kementerian Pendidikan dicadangkan tidak meneruskan PdP secara bersemuka bulan depan kerana dikhuatiri sesi yang cuma berbaki kira-kira dua bulan tahun ini akan mencetuskan kluster pendidikan yang serius.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad dilaporkan berkata, seandainya sesi persekolahan diteruskan, kluster pendidikan dijangka terus berlaku dan ini dilihat memberi implikasi terhadap usaha mengurangkan penularan Covid-19.

Sesi persekolahan secara fizikal dijadual dibuka secara berperingkat mulai 1 September ini.

Tambah Kamarul Azman, dalam tempoh ini, kerajaan sebaik-baiknya fokus terhadap pemulihan dan kajian terhadap kewujudan varian-varian baharu yang lebih bahaya.

Sumber: Utusan