“Kerana tak sampai hati, saya patah balik” – Kisah lelaki bantu 4 beranak tengah malam

“Kerana tak sampai hati, saya patah balik” – Kisah lelaki bantu 4 beranak tengah malam
“Mulanya saya takut nak berhenti tapi tawakal saja kerana mengenangkan ada budak (kanak-kanak),” kata Mohamad Shafiq Haiqal Hamid, 21, ketika menceritakan kisahnya membantu wanita bersama tiga anak selepas kereta Perodua Kancil dinaiki tersadai di tepi jalan.
Perkongsian Mohamad Shafiq mendapat perhatian hingga meraih lebih 500,000 tontonan selepas memuat naik video detik pertemuan dengan empat beranak itu di TikTok.
Bercerita lanjut, Mohamad Shafiq Haiqal yang menetap di Kampung Kedai Buloh, di sini berkata video itu dirakam ketika Sabtu lalu dan dimuat naik bagi menceritakan pengalamannya.
Katanya, dia terserempak dengan keluarga berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu ketika memandu kereta dengan ditemani dua sepupu untuk pulang ke rumah.
Menurutnya, ketika sampai di satu kawasan dekat Pantai Kemayang, dia ternampak dua budak, seorang lelaki berusia 11 tahun dan seorang lagi perempuan berusia lima tahun menolak kereta kancil daripada belakang.
“Pada mulanya saya tengok saja dan teruskan perjalanan kerana bimbang ia mungkin muslihat pihak yang berniat jahat.
“Tapi bila difikirkan, tak sampai hati sebab ada budak menyebabkan saya patah balik. Waktu itu saya nekad, lagi pun saya tidak berseorangan ditambah pula dengan laluan itu sibuk dengan kenderaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohamad Shafiq Haiqal, sebaik sampai, dia dan sepupunya melihat ada wanita di dalam kenderaan bersama seorang lagi kanak-kanak berusia setahun.
Katanya, terdapat juga peralatan niaga kerana wanita itu baru pulang dari berniaga.
“Saya ingatkan keretanya ada masalah bateri jadi kami cuba hidupkan enjin dengan guna kabel ‘jumper’. Tapi tak berjaya jadi saya pun tanya wanita itu sama ada keretanya ada minyak atau tidak. Wanita itu kata anak lelakinya sudah datang tapi isi minyak RM2 saja.
“Luluh hati saya waktu itu dengar jawapannya. Saya pergi stesen minyak terdekat untuk belikan petrol dan makanan untuk anaknya,” katanya.
Mohamad Shafiq Haiqal berkata, dia tidak dapat bersembang lama namun wanita itu sempat mengucapkan terima kasih sebelum beredar.
“Saya lega dan bersyukur dapat bantu mereka cuma tak sempat minta nombor telefon wanita itu. Tapi saya usaha dapatkan maklumat wanita itu di ruangan komen video saya yang tular kerana nak bantu.
“Alhamdulillah, saya dapat nombor telefon wanita itu dan mulanya dia keberatan bila beritahu nak datang ziarah. Tapi akhirnya bersetuju jadi dapatlah saya tengok keadaan rumah wanita itu yang juga menjaga suaminya kerana berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak kemalangan,” katanya.