Tak menang tangan, durian habis dibeli tak sampai satu jam

Tak menang tangan, durian habis dibeli tak sampai satu jam

Sebanyak tiga tan durian habis dijual dalam tempoh kurang satu jam setiap hari oleh penjualnya di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4 yang meletakkan harga hanya RM1.99 sekilogram menyebabkan dia tidak menang tangan.

Kedatangan pembeli juga bertambah setiap hari apabila video jualan murah itu yang dimuat naiknya di media sosial baru-baru ini mula tular.

Penjual durian, Mohd. Shukri Omcek, 27, berkata, beliau tidak menyangka video jualan durian dengan harga RM1.99 sekilogram itu menyebabkannya dia kini tidak pulang kosong, malah bekalan yang ada tidak mencukupi.

Katanya, dia menjual dengan harga itu selepas terbaca rungutan orang ramai yang kecewa apabila harga raja buah itu mahal dan hanya mampu dibeli golongan berduit sahaja.

“Ramai yang merungut kata durian di jual dengan harga mahal di pasaran sehingga golongan B40 tidak mampu membeli raja buah ini untuk dinikmati oleh keluarga mereka.”

“Lalu saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menjual secara borong supaya dapat menjual kepada orang ramai pada harga rendah,” katanya yang telah berniaga di situ sejak seminggu lalu.

Sehingga kini dia telah menjual kira-kira 20 tan durian kampung yang kebanyakannya habis dibeli dalam masa satu jam sahaja.

Katanya, harga rendah pula menyebabkan rata-rata pelanggan membeli antara lima hingga 10kg manakala jualan pula berdasarkan siapa cepat dia dapat bagi memastikan semua boleh membeli durian tersebut.

Sumber: Kosmo