“13 tahun tunggu zuriat” – Anak meninggal di taska, ibu bapa Al Fateh dapat tajaan rawatan IVF Tunku Azizah

“13 tahun tunggu zuriat” – Anak meninggal di taska, ibu bapa Al Fateh dapat tajaan rawatan IVF Tunku Azizah

 

“13 tahun tunggu zuriat” – Anak meninggal di taska, ibu bapa Al Fateh dapat tajaan rawatan IVF Tunku Azizah

Pasangan suami isteri yang kematian anak berusia lapan bulan selepas didakwa didera pengasuh di Melaka pada 6 September lalu, bersyukur ditawarkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) secara percuma daripada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini, masing-masing berusia 40 tahun berterima kasih di atas keprihatinan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Sebenarnya, saya terima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang yang berkenan memberikan tajaan IVF berikutan kematian anak kami (Muhammad Al Fateh) di rumah pengasuh pada bulan lalu.

“Saya agak terkejut kerana kes kematian anak saya ini mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang dan kami sangat bersyukur kerana diberi peluang dan menerima tawaran ini.

“Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al Fateh selama lapan bulan,” kata Mohd Fikry Amri.

Ibu bapa Al Fateh terima tajaan

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Tajaan Rawatan IVF kepada 65 pasangan suami isteri yang disampaikan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di sini hari ini.

Bagi Sabrina, IVF itu diharap memberikan mereka zuriat, sekali gus menghilangkan kesedihan kerana hanya sempat menjaga arwah anak selama lapan bulan.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan tawaran ini kerana ketika kejadian berlaku, kami terkejut tetapi Allah SWT memberikan kami kekuatan untuk menghadapi dengan tenang.

“Saya berfikir positif kerana Allah memberi saya peluang mengandung, menyusu dan menjaga anak sendiri.

“Saya berdoa IVF ini berjaya dan kami harap akan sekali lagi untuk diberi peluang untuk menjaga anak insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan kesyukuran beikutan sejak TAFF ditubuhkan pada tahun 2005, seramai 143 bayi berjaya dilahirkan membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

“TAFF menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024 dan 65 pasangan ini bertuah melepasi syarat yang ditetapkan.

“Saya harap semua rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan Allah memakbulkan,” titah baginda.