Tahniah, Nur Izzuddin-Sze Fei juara Terbuka India
Tahniah, Nur Izzuddin-Sze Fei juara Terbuka India
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih gelaran pertama pada musim ini setelah menjuarai Terbuka India sebentar tadi.
Kejayaan tersebut hadir setelah pasangan nombor dua dunia itu menumpaskan Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dari Korea Selatan dalam aksi final di New Delhi.
Dalam aksi di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula dengan langkah kanan apabila menang 21-15 pada set pertama.
Menjengah pada permainan kedua, beberapa kesilapan pasangan negara membuka ruang buat juara Terbuka Malaysia 2025 itu untuk menang 21-13 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Sze Fei-Nur Izzuddin kemudian memperkemaskan corak permainan mereka sebelum mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 53 minit pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Menerusi kemenangan berkenaan, Sze Fei-Nur Izzuddin yang menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik pada musim lalu membawa pulang AS$70,300 (RM316,653).
Kemenangan tersebut juga melonjakkan pencapaian mereka pada Terbuka Malaysia di Bukit Jalil minggu lalu setelah tersingkir seawal pusingan pertama.
Finalis Jelajah Dunia Akhir 2024 itu tumpas kepada wakil Denmark yang berada di kedudukan ke-26 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 15-21, 21-9, 21-18.