Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Monarki Intelek

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Monarki Intelek

 

1. DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempunyai laman web baginda sendiri iaitu https://sultannazrinshah.com/

2. Di dalam laman web baginda telah dimuatkan lebih 500 titah ucapan baginda dalam pelbagai majlis dari tahun 2004 sehinggalah kini.

3. Baginda merupakan Raja Melayu yang paling banyak menyampaikan titah ucapan, purata kira-kira 35 titah ucapan yang disampaikan setiap tahun, atau dua ke tiga ucapan setiap bulan.

4. Dari sejumlah 545 koleksi ucapan titah baginda yang dimuatnaik di laman web baginda, Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini telah menerbitkan koleksi 36 ucapan titah baginda di dalam buku terbaharu Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini. Tema-tema titah baginda merangkumi isu institusi raja, tadbir urus, agama Islam, masyarakat dan budaya. Titah-titah ucapan baginda ini dipilih dari titah-titah baginda sepanjang tahun 2009 hinggalah tahun 2016.

5. Di dalam titah ucapan baginda sempena majlis pelancaran buku ini pada 21 Oktober baru-baru ini, baginda memetik nukilan konsep triniti klasik oleh Walter Bagehot yang merumuskan raja berperlembagaan memiliki tiga hak:
(i) hak menyampaikan nasihat dan pandangan;
(ii) hak memberikan galakan dan dorongan;
(iii) hak memberikan peringatan dan teguran.

6. Menurut baginda, sebagai raja berperlembagaan, “Beta memilih untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberikan galakan dan dorongan serta memberikan peringatan dan teguran melalui titah-titah yang dizahirkan.” Menurut baginda lagi, “Raja Pemerintah yang arif, tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah.”

7. Penerbitan buku ini merupakan manifestasi pelaksanaan tanggungjawab baginda sebagai raja berperlembagaan.

8. Bagi sebahagian orang, apalah sangat sekadar memberi ucapan atau “membaca” ucapan. Siapa-siapa pun boleh buat. Apatah lagi jika titah ucapan rasmi disediakan oleh pihak kerajaan atau jika titah ucapan peribadi pun, tentulah ada pasukan penyelidik yang menyiapkannya. Namun jika diteliti titah-titah ucapan baginda, kita akan dapat memahami bahawa kebanyakan isi kandungan ucapan merupakan cetusan pemikiran dan pengamatan peribadi baginda sendiri yang turut disokong oleh fakta dan angka.

9. Aku sendiri sebagai penulis teks ucapan kecil-kecilan, menulis teks ucapan yang sepanjang tiga, empat muka surat pun memerlukan masa satu ke dua jam, itu pun jika rujukannya semua cukup. Bayangkan kalau teks ucapan puluhan muka surat, ada yang lebih 30 muka surat, dengan belasan malah puluhan nota kaki, bayangkan berapa lama masa yang diambil oleh penulis teks ucapan untuk menyediakannya dan berapa lama pula masa yang diambil oleh baginda untuk meneliti setiap helai titah, membuat rujuk silang, menambah apa yang kurang, memotong apa yang lebih.

10. Seorang raja pemerintah boleh memilih untuk tidak bertitah, boleh memilih untuk membuat urusan lain yang lebih santai dan menghiburkan. Boleh menyibukkan diri di media sosial jika mahu. Boleh menunjukkan kemewahan di hadapan rakyat jelata, kadang-kadang macam nak bersaing dengan rakyat pun ada. Pendek kata kalau raja lain tak buat kenapalah raja yang seorang ini bersusah-payah nak buat. Sampaikan lebih 500 ucapan. Agaknya kalau dikira sejak menjadi Raja Muda Perak tahun 1987 dan kemudiannya Pemangku Raja Perak sewaktu Almarhum Sultan Azlan Shah menjadi YDP Agong (1989 – 1994), titah ucapan baginda sudah ribuan agaknya. Tugasan ini berterusan dilaksanakan oleh baginda tanpa jemu selama puluhan tahun.

11. Jadi kalau baginda boleh meluangkan masa dan tenaga untuk menyiapkan ucapan, seterusnya bertitah pula, terlalu wajarlah bagi pihak kerajaan termasuklah kita rakyat jelata untuk menghayati nasihat, galakan dan teguran baginda.

12. Seperti yang baginda titahkan, raja berperlembagaan yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak yang disenaraikan berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah. Dan dengan kearifan baginda itulah, baginda memilih untuk kekal di jalur intelek.

13. Jika raja-raja Melayu di zaman silam mempunyai Raja Ali Haji sebagai tokoh intelek, kita memiliki Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Bezanya Raja Ali Haji dengan Sultan Nazrin ialah Sultan Nazrin ialah raja pemerintah yang sebenar, manakala Raja Ali Haji ialah kerabat terdekat Yamtuan Muda Johor Riau.

14. Kalau semua raja-raja Melayu dan kerabatnya boleh menghidupkan budaya intelek sebegini melalui ucapan dan wacana ilmiah, negara kita akan menjadi lebih baik dan berintegriti.

15. Janganlah kita biarkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersendirian dalam hal ini.

Dirgahayu Tuanku