Siti Saleha akui sudah bertunang dengan kekasih, Joshua Fitton

Siti Saleha akui sudah bertunang dengan kekasih, Joshua Fitton

 

Siti Saleha akui sudah bertunang dengan kekasih, Joshua Fitton.

Pelakon Siti Saleha tidak lagi berselindung dan mendedahkan dia dan kekasih iaitu Joshua Fitton sudah mengikat tali pertunangan.

Saleha atau Siti Saleha Mohd Baharum, 34, secara terbuka membuat pengakuan itu ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) pada malam Jumaat.

“Kami sudah bersedia untuk mengumumkan bahawa kami sudah bertunang,” ujarnya ringkas.

Video pengakuan itu turut dimuat naik di akaun TikTok @officialklfw.

Dalam perkongsian tersebut, Saleha menggayakan busana ringkas rona putih dan Joshua hadir dalam persalinan serba hitam itu ditemu bual sewaktu acara karpet merah.

Hos acara tersebut bertanyakan kepada pasangan itu tentang perkembangan mereka sepanjang tahun ini.

Tanpa berselindung, Joshua memberitahu sudah bersedia untuk memaklumkan yang mereka telah mengikat tali pertunangan.

“Kami terbuka untuk memberitahu yang kami sudah pun bertunang,” ujarnya.

Pada Disember 2022, Saleha secara terbuka memperkenalkan kekasihnya yang juga merupakan seorang pereka fesyen kepada umum.

Kata Saleha, dia enggan terburu-buru memikirkan soal perancangan kembali berumah tangga kerana masih lagi dalam proses berkenalan.

Untuk rekod, Saleha pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar 28 Julai 2017 namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun.