Simpati kerap jalani ‘swab test’, Zed Zaidi cadang artis diberi vaksin lebih awal
Jika sebelum ini Zed Zaidi selaku Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pernah mengutarakan cadangan untuk kerajaan menawarkan bantuan khas buat penggiat seni di Malaysia, kini Zed Zaidi kembali lagi dengan cadangan terbaru bagi membela nasib para artis dan selebriti.
Menerusi kenyataan terbaru yang dibuat, Zed Zaidi berharap pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 lebih awal kepada golongan artis.
Cadangan tersebut dikemukakan setelah mendapat aduan daripada para artis yang sakit hidung setelah kerap menjalani ujian swab test setiap kali menerima tawaran kerja. Tambahnya lagi, terdapat rakan artis yang sudah fed up dengan kekerapan ujian saringan yang perlu dilakukan.
Penerimaan vaksin COVID-19 dengan lebih awal ini secara tidak langsung memudahkan rakan artis untuk tidak lagi menjalani ujian saringan COVID-19 sekaligus mengurangkan kos kerajaan dalam menjalani ujian saringan berkenaan.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar pihak kerajaan mempertimbangkan penggunaan artis dalam kempen vaksinasi COVID-19 seperti yang dilakukan kerajaan Indonesia.
Menurutnya, penggunaan artis dan selebriti ini secara tidak langsung bakal membantu pihak kerajaan untuk meningkatkan jumlah individu yang berminat untuk mendaftar diri mendapatkan vaksin. Zed Zaidi juga berpendapat kerajaan sangat rugi sekiranya tidak menggunakan pengaruh artis dalam mempromosikan vaksin.
Meskipun cadangan yang dibuat sekadar mengutarakan nasib para artis, cadangan yang dibuat nyata kurang mendapat persetujuan netizen yang berpendapat terdapat golongan lain yang lebih memerlukan berbanding para artis.
Adakah anda berpendapat golongan artis wajar diberikan vaksin terlebih dahulu bagi mengurangkan kekerapan menjalani ujian saringan atau sebaliknya? – TV