Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten
Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten
Semua mengimpikan mahu memiliki RM1 juta di dalam akaun kerana percaya boleh mengubah hidup serta menampung perbelanjaan untuk jangka masa yang lama.
Siapa sangka rupanya dengan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh menjadikan anda seorang jutawan di masa kelak?
Perkara ini dibahaskan oleh Ketua Jabatan Dasar dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff di dalam temu bual bersama Astro Awani berkata caruman secara konsisten ke dalam tabung KWSP boleh menjamin persaraan yang selesa walaupun dengan gaji permulaan yang rendah.
Hal ini kerana simulasi yang dijalankan tabung itu menunjukkan seorang pekerja dengan gaji minimum bermula RM1,700 juga boleh mencapai simpanan RM1 juta menjelang usia persaraan kelak.
Jelasnya, apatah lagi kalau seseorang graduan yang dapat pekerjaan pertama dengan tangga gaji yang lebih tinggi seperti RM3,000 secara relatifnya boleh mencapai dengan lebih mudah.
Malah, baki RM1 juta itu juga hanya dari KWSP sahaja tanpa mengira simpanan lain yang anda miliki.
Bagaimanapun, kunci utama adalah konsisten dengan caruman dan tidak mengambil keluar wang dari akuan ke-3 sehinggalah waktu yang sesuai.
Menerusi laporan sebelum ini, rakyat Malaysia perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM57,000 di Akaun 1 dan RM76,000 dalam keseluruhan akaun ditambah dengan jumlah yang ada dalam Akaun 2 dan Akaun Fleksibel untuk seseorang yang berusia 35 tahun.
Jadi, anda bolehlah mengambil kiraan di atas sebagai panduan untuk mengetahui kesihatan caruman KWSP sama ada sihat atau tidak di usia 30-an. Dengan simpanan sebanyak ini, anda boleh menuai hasilnya di kemudian hari kerana dapat dividen pada setiap tahun.
Mengapa jumlah ini dianggap ideal? Ini bagi memastikan rakyat negara ini mempunyai simpanan sebanyak RM240,000 dalam Akaun 1 apabila sudah menginjak usia 55 tahun.
Dengan pembayaran KWSP sebanyak 5.50% setahun, anda akan menerima dividen RM1,100 setiap bulan sekiranya memiliki jumlah simpanan seperti di atas.
Salah satu cara anda mahu meningkatkan jumlah pulangan dividen yang tinggi adalah dengan mencarum sendiri supaya sumbangan KWSP menjadi lebih besar pada setiap bulan.