“Nanti tertunduk malu, cakap terketar-ketar” – Shuib mahu saman pengguna TikTok

“Nanti tertunduk malu, cakap terketar-ketar” – Shuib mahu saman pengguna TikTok

 

“Nanti tertunduk malu, cakap terketar-ketar” – Shuib mahu saman pengguna TikTok.

Pelawak dan usahawan sensasi, Shuib bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial di TikTok yang didakwa mengeluarkan kenyataan palsu membabitkan syarikat minuman miliknya, Bubblebee Sdn Bhd.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, berkata, tuduhan dilemparkan individu terbabit amat tidak berasas selain mengakibatkan syarikatnya mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Saya akan mengambil tindakan (saman) ke atas kenyataan seorang pengguna TikTok yang melampaui batas. Sekiranya ingin bercakap soal pengasas sesebuah produk, kita kena fikir apakah kesan yang berlaku kepada individu itu dan juga jenama.

“Jika kesan tidak baik dan boleh mengakibatkan kerugian, perkara itu tidak adil untuk saya dan syarikat memandangkan tuduhan itu tidak berasas. Perniagaan saya ini membabitkan pelabur dan urusan perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.

“Jika kenyataan dia itu boleh menyebabkan kerugian berjuta kepada kita, saya boleh ambil tindakan kerana bukan hendak memberi pengajaran kepada orang lain, tetapi kepada diri dia sendiri supaya jangan anggap kenyataan di media sosial itu sebagai main-main,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Bocey Comeback Live In Singapore.

Dalam masa sama, Shuib turut menjelaskan dakwaan pengguna TikTok terbabit yang memfitnah dengan mengatakan syarikatnya bukan Bumiputera.

“Saya sudah biasa melalui perkara sebegini di mahkamah dan selalunya mereka yang terbabit akan tertunduk malu dan bercakap dalam keadaan terketar-ketar.

“Saya tidak mahu melakukan perkara sebegini, tetapi sekiranya saya tidak melakukan, mereka akan fikir mereka adalah golongan bijaksana dalam berkata-kata.

“Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.

Apa yang ingin saya tegaskan adalah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar.

“Jadi, hati-hati apabila bercakap kerana apabila membabitkan syarikat, saya perlu mengambil tindakan,” katanya.

Kelmarin syarikat milik Shuib itu berdepan dengan 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Syarikat terbabit bersama dua pengarahnya diwakili Shuib dan Koh Choon Guan selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Terdahulu, Bubblebee, Shuib dan Koh didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.