Sayu! Air mata Siti Sarah mengalir ketika nazak, Shuib kongsi detik terakhir panggilan video isterinya

Sayu! Air mata Siti Sarah mengalir ketika nazak, Shuib kongsi detik terakhir panggilan video isterinya

 

Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, sedang nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), semalam.

Shuib berkata, dia dan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dapat melihat air mata berjuraian di pipi arwah ketika mereka membuat panggilan video, seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.

“Saya sempat ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi.

“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di kaunter bilik jenazah HCTM, sebenar tadi.

Shuib berkata, dia reda atas pemergian arwah isterinya.

“Cuma, cabaran saya untuk memaklumkan kepada tiga cahaya mata mengenai ketiadaan arwah ibunya,” katanya.

Allahyarham Siti Sarah memeluk tiga cahaya matanya sebelum dibawa ke HCTM pada Rabu lalu. – Foto IG Shuib Sepahtu

Katanya, jenazah arwah isterinya akan ditayammum dan disolatkan di hospital berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Jenazah arwah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 12 tengah hari ini.

“Arwah memang minta dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya.

“Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.

Kelihatan tenang ketika ditemui, Shuib berkata, dia berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan arwah dengan baik.

“Arwah menghadiahkan saya dengan kehadiran Ayash Affan yang lahir pada Jumaat lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Nyata, Allah lebih menyayanginya.

“Nama Ayash Affan itu sendiri menjadi pilihan arwah kerana menurut pembacaannya, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Wilayah Gaza,” katanya.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU, HCTM akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini.

Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Sumber: Berita Harian