Saksi video tular cubaan culik kanak-kanak diminta tampil bantu siasatan

Saksi video tular cubaan culik kanak-kanak diminta tampil bantu siasatan

 

Saksi video tular cubaan culik kanak-kanak diminta tampil bantu siasatan

Polis Bentong meminta pemilik video tampil bagi membantu siasatan susulan penularan video yang mendakwa berlakunya kejadian cubaan menculik kanak-kanak di Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, video berdurasi 18 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @awiegerbangmalam.

Menurutnya, pihak polis mengesan penularan video tersebut kira-kira jam 8.30 malam pada Isnin.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang laporan polis diterima setakat 10 Jun (Selasa).

“Kita memohon mana-mana pihak yang mengalami kejadian seperti ini hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan polis terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Sementara itu, di platform TikTok milik individu terbabit, beliau mendakwa dua anaknya yang berusia empat dan tujuh tahun hampir dilarikan ketika berada di pusat peranginan terkenal tersebut.

Dakwanya, terdapat tiga individu yang dikenal pasti termasuk seorang wanita dipercayai warga asing dalam cubaan tersebut.