“Lagi murah dari RXZ” – Honda City mangsa ‘sambung bayar’ kini dilelong RM2,000
“Lagi murah dari RXZ” – Honda City mangsa ‘sambung bayar’ kini dilelong RM2,000
Pada akhir Oktober lalu tular kisah seorang wanita merosakkan sebuah Honda City berwarna hijau selepas mendapati dirinya ditipu oleh pemilik asal kereta tersebut dalam urusan ‘sambung bayar’.
Keadaan kereta itu memang rosak teruk dengan kesemua tingkap cermin yang pecah, cermin sisi dipatahkan dan bahagian kabin dalam penuh dengan serpihan kaca cermin yang dipecahkan.
Dalam satu hantaran Facebook pelabur hartanah terkenal di media sosial, Ishaq Marazi menyatakan kereta itu sedang dilelong.
“Kereta viral. Lagi murah daripada RX-Z. Lelong RM2,000. Honda City tahun 2008. On tak On?” katanya.
Menerusi satu tangkap layar yang dikongsikan Ishaq, LOT 127 merupakan kereta Honda City 1.5 VTEC tahun 2008 bertransmisi automatik itu dilelong pada harga RM2,000.
Terdahulu, seorang wanita yang tular merosakkan Honda City itu kerana berasa berang selepas tertipu dengan pemilik asal kereta tersebut.
Difahamkan dia berbuat sedemikian selepas mendapati pemilik asal kereta Honda tersebut tidak membayar loan kepada bank selama 8 bulan walaupun wanita tersebut tidak pernah terlepas bayar bulanan kepada pemilik asal.