Rupiah ‘jatuh’, rakyat Malaysia pilih melancong ke Indonesia

Rupiah ‘jatuh’, rakyat Malaysia pilih melancong ke Indonesia

 

Rupiah ‘jatuh’, rakyat Malaysia pilih melancong ke Indonesia.

Data terbaru dari Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sekali lagi berada di puncak carta sebagai negara dengan jumlah pelancong tertinggi yang bercuti ke Indonesia pada September 2024, lapor Bisnis.

Menurut Pelaksana Tugas (Plt) Kepala BPS, Amalia Adininggar Widyasanti, pelancong dari Malaysia meningkat 24.22% secara bulanan, membawa jumlahnya kepada 234,500 pelancong pada bulan ini.

Ini menjadikan Malaysia sebagai penyumbang terbesar dengan 18.3% daripada jumlah keseluruhan pelawat pada bulan tersebut.

Secara keseluruhan, Indonesia menerima seramai 1,279,258 pelancong antarabangsa pada September 2024.

Jumlah ini sebenarnya mengalami penurunan sebanyak 4.53% berbanding bulan sebelumnya, tetapi masih menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 19.53% jika dibandingkan dengan September tahun lepas.

“Kunjungan pelancong dari Malaysia bukan sahaja naik 24.22% secara bulanan, malah melonjak 54.04% secara tahunan,” jelas Amalia ketika pembentangan data bulanan BPS pada Jumaat lalu.

Untuk rekod, melalui laporan Harian Metro, kejatuhan nilai mata wang Rupiah berbanding Ringgit telah membuka satu peluang bagi rakyat Malaysia untuk melancong dan berbelanja di Indonesia dengan kos yang lebih murah.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Datuk Noor Zaleha Baharuddin, situasi ini dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan lebih banyak nilai daripada Ringgit mereka.

“Keadaan ini mendorong mereka melawat pusat beli-belah atau bercuti di sana berikutan kos yang lebih berpatutan.

“Kelebihan ini juga berpunca daripada faktor ekonomi seperti kos hidup yang lebih rendah di Indonesia untuk barangan tertentu berbanding Malaysia terutamanya dalam sektor makanan, pakaian dan produk kraftangan.

“Apabila nilai tukaran mata wang menguntungkan, rakyat Malaysia melihatnya sebagai peluang untuk menjimatkan kos sambil menikmati pelbagai barangan atau pengalaman,” katanya.

Tambahnya lagi, kos hidup yang lebih rendah di Indonesia dalam sektor tertentu seperti makanan, pakaian, dan produk kraftangan juga menjadi faktor tarikan bagi rakyat Malaysia.

Fenomena rakyat Malaysia yang berbelanja dan melancong ke Indonesia memberi kesan positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara jiran itu.

Para peniaga di lokasi tumpuan pelancong di Indonesia mendapat manfaat daripada lonjakan kunjungan pelancong Malaysia.

Lebih ramai pelancong dari Malaysia berbelanja di pusat beli-belah dan pasar-pasar tempatan, yang sekali gus memberi rangsangan kepada ekonomi tempatan.