Lebih 100,000 etnik Rohingya dijangka masuk Malaysia Disember ini
Lebih 100,000 etnik Rohingya dijangka masuk Malaysia Disember ini.
Negara kita berkemungkinan akan menghadapi gelombang pelarian warga Rohingya yang besar tidak lama lagi dengan laporan Utusan Malaysia menyebut lebih 100,000 etnik Rohingya dijangka meninggalkan Rakhine dan menuju masuk ke Malaysia.
Krisis ini semakin memuncak setelah tentera Myanmar memperhebat operasi ketenteraan di kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, pasukan tentera Arakan (AA), yang dulunya membela etnik Rohingya, kini dilihat mula berpaling tadah dan menjadi ancaman besar.
Presiden Organisasi Rohingya Burma UK (BROUK), Tun Khin, menyatakan bahawa Malaysia yang akan mengetuai ASEAN tahun depan perlu bersikap tegas menekan tentera Myanmar dan Arakan agar menghentikan kekejaman ini.
Khin mendakwa bahawa tentera Arakan yang kononnya ingin mengadakan revolusi kini menindas etnik Rohingya hingga memaksa mereka melarikan diri.
Keadaan ini bukan sahaja membahayakan keselamatan etnik Rohingya tetapi juga mencetuskan peluang buat sindiket penyeludupan manusia.
Difahamkan bahawa pelarian Rohingya selalunya akan menuju ke Indonesia dahulu sebagai ‘pelabuhan pertama’ kerana akses ke negara itu lebih mudah.
Menurut Tun Khin, dari Indonesia, kebanyakan etnik ini akan menyusup ke Malaysia dan Thailand melalui laluan-laluan tikus yang sudah menjadi jalan bagi sindiket penyeludupan.
Sekiranya perkara ini dibiarkan, Malaysia akan terus dibanjiri pelarian, mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat serta risiko hubungan diplomasi Malaysia-Myanmar.
“Jika terus berdiam diri, Malaysia akan terus dibanjiri pelarian Rohingya dan perkara itu akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat di negara ini, selain menjejaskan hubungan diplomasi Malaysia-Myanmar,” ujarnya.
Kekejaman ini juga mendapat perhatian Nay San Lwin, pengasas bersama Gabungan Rohingya Bebas (FRE), yang menegaskan bahawa tentera Arakan kini semakin agresif dalam menindas etnik Rohingya, termasuk pembunuhan kejam beramai-ramai yang melibatkan kanak-kanak, wanita, dan orang tua.
Tragedi ini bukan lagi dilakukan semata-mata oleh pihak Myanmar tetapi turut melibatkan tentera Arakan yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung.
“Bukan sahaja Myanmar yang perlu bertanggungjawab terhadap nasib menimpa Rohingya, tentera Arakan juga terlibat sama dalam jenayah kemanusiaan di Rakhine.
“Saya yakin, Malaysia menerusi kerjasama aktivis tempatan boleh membantu komuniti Rohingya dan menekan pihak-pihak berkaitan,” ujarnya.