Robert Kuok kekal nombor satu individu terkaya di Malaysia

Robert Kuok kekal nombor satu individu terkaya di Malaysia
Pengukuhan nilai ringgit melebihi lima peratus dalam tempoh 12 bulan lalu menyumbang kepada kenaikan ketara dalam jumlah kekayaan keseluruhan 50 individu terkaya di Malaysia tahun ini.
Dalam laporan senarai terkini Forbes, jumlah kekayaan bilionair Malaysia meningkat kepada AS$90 bilion (RM396.9 bilion) berbanding AS$83.4 bilion (RM367.8 bilion) pada 2024.
Selain ringgit, pasaran saham tempatan juga kekal rancak dengan 55 tawaran awal permulaan (IPO) tahun lalu yang turut membantu merangsang kekayaan bilionair Malaysia, meskipun Bursa Malaysia kekal suram susulan kejutan tarif dari Amerika Syarikat (AS).
Dalam senarai 50 individu terkaya Malaysia yang dikeluarkan Forbes, legenda perniagaan Malaysia, Tan Sri Robert Kuok, 101, kekal sebagai individu paling kaya di negara ini dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$11.4 bilion (RM50.3 bilion).
Empayar perniagaannya, Kuok Group, yang meliputi sektor agribisnes hingga hospitaliti, kini merancang untuk melaksanakan projek pusat data berskala besar di Johor.
Di tempat kedua adalah tokoh kewangan berprofil tinggi, Tan Sri Quek Leng Chan, yang mencatatkan peningkatan kekayaan sebanyak AS$1 bilion (RM4.40 bilion) menjadikan jumlahnya AS$9.8 bilion (RM43.2 bilion).
Peningkatan kekayaan individu kedua terkaya Malaysia itu disokong oleh prestasi kukuh konglomerat keluarganya yang merangkumi bidang kewangan hingga makanan.
Sementara itu, waris pengasas Public Bank iaitu adik beradik Teh, terus mengekalkan kedudukan di tempat ketiga dengan kekayaan mencecah AS$5.9 bilion (RM26.02 bilion), meningkat sebanyak 9.0 peratus berbanding tahun lalu tahun lalu.
Menurut Forbes, keluarga Krishnan, waris kepada mendiang jutawan Tan Sri Ananda Krishnan yang meninggal dunia pada usia 86 tahun November lalu, membuat kemunculan pertama dalam senarai di tangga kelima dengan kekayaan sebanyak AS$5.3 bilion (RM23.4 bilion).
Turut tersenarai buat kali pertama ialah pengasas rangkaian runcit 99 Speedmart, Lee Thiam Wah, di tangga kelapan dengan kekayaan AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion).
Thiam Wah muncul sebagai jutawan selepas penyenaraian syarikatnya pada September lalu, yang berjaya meraih AS$532 juta (RM2.35 bilion), IPO terbesar Malaysia dalam tempoh tujuh tahun.
Senarai kali ini turut menyaksikan bekas pegawai polis, Tan Sri Tan Boon Hock, disenaraikan di kedudukan ke-40 dengan kekayaan AS$490 juta (RM2.16 bilion), hasil pelaburannya dalam klinik pembedahan mata dan sistem pengurusan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Dalam senarai sama, seramai 30 individu menunjukkan peningkatan kekayaan berbanding tahun sebelumnya.
Satu-satunya nama yang kembali ke senarai ialah Tan Sri Desmond Lim Siew Choon yang berada pada kedudukan ke-44 dengan kekayaan AS$420 juta (RM1.85 bilion), pemilik Pavilion Reit yang mendapat manfaat daripada peningkatan sewa.
Menurut Forbes, nilai kekayaan bersih ini dikira berdasarkan harga saham dan kadar tukaran semasa pasaran ditutup pada 7 April 2025.
Nilai syarikat swasta pula dinilai berdasarkan perbandingan dengan syarikat tersenarai yang setara.
Senarai 10 Individu Terkaya Malaysia 2025
1. Tan Sri Robert Kuok – AS$11.4 bilion (RM50.3 bilion)
2. Tan Sri Quek Leng Chan – AS$9.8 bilion (RM43.2 bilion)
3. Adik-beradik Teh – AS$5.9 bilion (RM26.02 bilion)
4. Koon Poh Keong & adik-beradik – AS$5.4 bilion (RM23.8 bilion)
5. Keluarga Krishnan – AS$5.3 bilion (RM23.4 bilion)
6. Lee Yeow Chor & Yeow Seng – AS$5.2 bilion (RM22.9 bilion)
7. Tan Sri Francis Yeoh & adik-beradik – AS$3.6 bilion (RM15.9 bilion)
8. Lee Thiam Wah – AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion)
9. Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah – AS$3 bilion (RM13.2 bilion)
10. Chia Song Kun – AS$2.3 bilion (RM10.1 bilion)