Kerajaan simpan RM12.8 bilion wang tidak dituntut
Kerajaan simpan RM12.8 bilion wang tidak dituntut.
Kerajaan Malaysia sedang menyimpan sejumlah RM12.8 bilion dalam bentuk wang tidak dituntut, dedah Timbalan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, dalam Dewan Rakyat.
Menurut FMT, Sehingga 31 Oktober, daripada keseluruhan RM17 bilion wang tidak dituntut yang diserahkan oleh syarikat-syarikat dan firma, hanya RM4.2 bilion telah berjaya dituntut oleh pemilik yang sah, menurut laporan Bernama.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, Jabatan Akauntan Negara telah mengambil inisiatif dengan membuka 184 kaunter di seluruh negara.
Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memudahkan orang ramai memeriksa sama ada mereka memiliki wang tidak dituntut dan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat tampil menuntut hak mereka.
Menariknya, Amir turut mendedahkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan satu cadangan untuk menggunakan data terkini daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mencari pemilik yang sah atau waris-waris wang tidak dituntut ini.
Idea ini melibatkan inisiatif untuk terus memasukkan dana ke akaun bank pemilik tanpa mereka perlu melalui proses tuntutan.
Dalam sesi yang sama, Amir turut menyentuh mengenai kolaborasi Kementerian Kewangan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Mereka kini sedang meneliti permintaan untuk bayaran ketidakseimbangan kos (ICPT) sebanyak RM162 juta kepada Sabah Electricity Sdn Bhd bagi tempoh dari Jun hingga Disember 2023.
Ini bertujuan untuk membantu Sabah menghadapi kos operasi elektrik yang tinggi.
Tidak cukup dengan itu, Kementerian Kewangan juga mempertimbangkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman Sabah Electricity kepada kerajaan, yang kini dianggarkan bernilai sekitar RM65 juta.
Langkah ini selari dengan komitmen kerajaan untuk menyediakan subsidi elektrik bernilai RM3.54 bilion kepada Sabah sehingga tahun 2030, bagi memastikan negeri itu dapat mengawal selia bekalan elektrik dan gasnya sendiri.