Enggan hantar barang sampai pintu, rider dikecam persenda pelanggan OKU

Enggan hantar barang sampai pintu, rider dikecam persenda pelanggan OKU

 

Enggan hantar barang sampai pintu, rider dikecam persenda pelanggan OKU

Sudah termaktub di dalam perkhidmatan penghantaran buat rider untuk menghantar barangan sampai ke depan pintu pelanggan. Tetapi kebelakangan ini makin ramai rider yang naik lemak apabila malas untuk berbuat sedemikian sekaligus menyusahkan pihak pelanggan.

Terbaharu, seorang individu yang kelainan upaya berkongsi satu insiden yang mengecewakan dengan pekerja perkhidmatan penghantaran yang tidak melakukan tugas menghantar sehingga ke rumah pelanggan seperti yang dipinta.

Tidak sekadar enggan menjalankan kerja hakiki, rider terbabit turut menghantar mesej berbaur hinaan di samping mempersoal status pelanggan OKU itu.

Kisah ini dikongsikan semula oleh seorang pengguna di Grup FB GrabFood Rider Malaysia yang mana mendedahkan pengalaman yang dialami oleh pelanggan OKU berkenaan.

“”Saya seorang OKU fizikal yang bergantung kepada kerusi roda. Sudah bertahun-tahun saya menggunakan GrabMart untuk membeli barang, terutama dari Lotus Bukit Indah JB (Johor Bahru, Johor), yang merupakan kedai terdekat dengan tempat saya.

“Selama ini, setiap rider akan menghantar barang hingga ke pintu rumah seperti yang dijanjikan oleh Grab dengan perkhidmatan ‘door-to-door’ yang jelas menyatakan penghantaran hingga ke depan pintu pelanggan.

“Namun, petang semalam (Khamis), rider terbabit tidak menghubungi saya, tidak menelefon atau menghantar mesej mengenai status penghantaran.

“Tiba-tiba, saya menerima mesej mengatakan barang diletakkan di bawah blok. Saya sudah memberikan maklumat mengenai nombor rumah, tingkat, dan blok dengan jelas,” kongsinya disamping berkongsikan tangkap layar mesejnya bersama penghantar terbabit.

Tambahnya lagi, penghantar berkenaan juga memberikan gambar menunjukkan barang ditinggalkan di atas peti surat kediaman di tingkat bawah dan terus pergi tanpa memberikan sebarang respons terhadap mesej yang diberikan.

Bahkan, cubaan untuk menghubungi semula rider terbabit masih gagal kerana tidak dijawab sama sekali.

“Saya kecewa kerana barang tidak sampai ke tangan saya, sedangkan rumah saya ada lif dan tiada halangan untuk menghantar barang terus ke pintu rumah. Rider tersebut kelihatan malas dan memilih cara yang mudah.

“Lebih menyakitkan hati, rider tersebut juga menghina saya sebagai OKU dan meragui keadaan saya.

“Dia mungkin berfikir saya cuba menipu untuk mendapatkan penghantaran depan pintu, tetapi itu adalah jaminan dalam Terma Perkhidmatan Grab yang menyatakan penghantaran ‘door-to-door’,” tulisnya.

Menurut lelaki berkenaan, kejadian sebegini sangat menyusahkan bukan sahaja kepada OKU malahan golongan seperti ibu tunggal yang mempunyai anak kecil, atau warga emas yang memerlukan penghantaran ke pintu rumah.

Susulan insiden terbabit, dia langsung membuat laporan kepada perkhidmatan pelanggan Grab beserta bukti tangkap layar skrin menunjukkan perlakuan biadap oleh rider tersebut.

“Saya menerima bayaran balik penuh, tetapi prosesnya memerlukan masa yang agak lama dan menyusahkan. Saya terpaksa menunggu lebih daripada 1 hingga tiga hari bekerja untuk pengembalian wang, yang boleh mengambil masa sehingga 30 hari.

“”Sementara itu, saya tidak dapat membeli barang dan menyelesaikan urusan harian saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, mangsa berharap agar penghantar di luar supaya lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

“Jika ada maklumat yang jelas dalam nota seperti ‘OKU’, mereka seharusnya tidak meragui atau mengelakkan penghantaran yang sepatutnya sampai ke depan pintu.

“Keadaan saya jelas kelihatan, dan saya berharap semua orang dapat memahami situasi ini,” tulisnya lagi.

Selain itu, dia juga dimaklumkan oleh syarikat terbabit yang pihak mereka mengambil maklum dan akan mengenakan tindakan terhadap penghantar terbabit selepas sudah mendapat bukti yang mencukupi.

Kisah yang dikongsikan oleh pelanggan OKU itu langsung menjadi perhatian dan ramai netizen mengecam rider terbabit yang bulan sahaja tidak menjalankan tugas dengan amanah malah sanggup menghina individu yang kelainan upaya.

Rider

Rider

Selain itu, ada juga netizen yang mempersoal perangai sesetengah rider yang semakin liat menghantar barangan ke depan pintu rumah di samping mengharapkan tips dari pelanggan.