Polis Perak tubuh pasukan siasatan khas berkaitan kes cubaan culik murid

Polis Perak tubuh pasukan siasatan khas berkaitan kes cubaan culik murid

 

Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Taman Pinji Mewah, di sini pada 23 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata polis menerima laporan mengenai cubaan melarikan murid di sekolah itu daripada ibu mangsa kira-kira jam 9.07 malam hari yang sama.

Katanya, penubuhan pasukan khas itu adalah bagi menyiasat kes berkenaan dari pelbagai sudut di samping mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta pihak sekolah berkenaan khususnya dalam mempertingkat langkah pencegahan jenayah dan keselamatan di sekolah.

“Justeru, masyarakat awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu agar tidak menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diseru untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 013-6282176 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular gambar laporan polis dimuat naik oleh seorang lelaki mendakwa anak perempuan sulungnya hampir menjadi mangsa culik di hadapan SK Pengkalan Pinji Mewah pada Jumaat lalu.

Berdasarkan salinan laporan itu, kanak-kanak berusia 9 tahun itu dikatakan nyaris diculik bersama seorang lagi kanak-kanak oleh seorang lelaki yang menaiki van kira-kira jam 1.05 tengah hari sebelum cubaan menculik itu berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pengawal keselamatan sekolah.

Rentetan itu, Mohd Yusri turut menasihatkan agar pihak sekolah, ibu bapa serta penjaga mengambil berat beberapa aspek antaranya mengikut waktu yang ditetapkan semasa menghantar dan mengambil murid dari sekolah, memaklumkan kesulitan dihadapi, dan sebagainya.