Polis Perak keluarkan 706 kompaun sejak PKP3.0 dilaksanakan

Polis Perak keluarkan 706 kompaun sejak PKP3.0 dilaksanakan

Polis Perak mengeluarkan sebanyak 706 kompaun bagi kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bermula 12 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, 277 kompaun dikeluarkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di negeri ini sejak 22 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada kompaun dikeluarkan ke atas individu atas kesalahan melanggar had masa maksimum dua jam di premis perniagaan.

“Nilai kompaun itu berbeza mengikut kepada kesalahan yang dilakukan. Setakat ini, 706 kompaun dikeluarkan di seluruh Perak dalam tempoh 16 hari sehingga semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Mior Faridalatrhrash ketika ditemui berkata, sikap ambil ringan terhadap pematuhan SOP menyebabkan wujud pelbagai alasan dalam kalangan golongan ingkar bagi ‘menghalalkan’ perbuatan yang jelas melanggar arahan ditetapkan kerajaan.

Katanya, adalah sesuatu yang janggal sekiranya orang ramai masih memberi alasan tidak tahu, terlupa atau tidak faham SOP sedangkan telah lebih setahun menjalani kehidupan norma baharu.

“Banyak alasan tidak munasabah yang diterima semasa penguatkuasaan mahu dijalankan. Ada yang beritahu tidak mampu beli pelitup muka atau terlupa memakainya.

“Ada juga yang tidak mengimbas Kod QR melalui MySejahtera dengan alasan tidak mempunyai telefon pintar sedangkan buku untuk pendaftaran secara manual turut disediakan.

“Bila kita tegaskan perkara itu, mereka beri alasan lain pula iaitu tidak tahu menulis. Macam-macam ragam sebenarnya kita jumpa untuk lepaskan diri,” katanya.

Menurut beliau, terdapat juga individu yang menggunakan alasan pasangan jarak jauh untuk merentas daerah atau negeri untuk ke lokasi lain termasuk pulang ke kampung.

Katanya, golongan itu sengaja mencipta alasan tersebut sedangkan mereka sebenarnya berada di kawasan sama.

“Dalam banyak alasan, lupa pakai pelitup muka antara yang paling kerap diterima. Ketika ini, pemakaian pelitup muka adalah wajib. Keluar sahaja ke tempat awam mahupun tumpuan ramai, wajib pakai.

“Ini langkah yang penting dalam keadaan kita menghadapi pandemik, kita tidak mahu masyarakat terdedah kepada bahaya. Bukan saja-saja kita mahu hukum mereka,” katanya. – UO