PKPD 4 Mukim di Perak

PKPD 4 Mukim di Perak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di empat (4) mukim dalam negeri Perak yang melibatkan:

• Daerah Hulu Perak (Mukim Pengkalan Hulu)
• Daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Taiping)
• Daerah Kinta (Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan)
• Daerah Muallim (Mukim Hulu Bernam Timur)

KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 119.3% di seluruh negeri Perak bagi tempoh 14 hari (5 Mei sehingga 18 Mei 2021) iaitu 2,035 kes berbanding 928 kes (12 April sehingga 4 Mei 2021) dan peningkatan kes ini juga melibatkan keempat-empat mukim tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di keempat-empat mukim seperti yang dinyatakan bermula 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain.