Wanita kecewa suami jenis berkira, duit pisang goreng RM6 pun minta bahagi dua
Tular kisah seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa di media sosial apabila suami yang begitu berkira, sehingga perbelanjaan sekecil RM6 untuk pisang goreng pun perlu dibahagikan sama rata.
Wanita itu, dalam hantaran tanpa nama di media sosial X, berkongsi pengalaman hidupnya bersama suami yang walaupun telah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun dan memiliki seorang anak, masih menuntut semua kos sara hidup, termasuk makanan ringan, dibahagi sama rata.
Malah, dia turut menyatakan bahawa suami yang jenis berkira ini memperoleh pendapatan RM2,000 lebih tinggi daripada dirinya, tetapi hanya memberikan nafkah sebanyak RM400 setiap bulan, yang kebanyakannya digunakan untuk anak mereka.
Apa yang benar-benar mengejutkan netizen ialah pendedahan wanita itu mengenai suaminya yang sanggup membahagi harga pisang goreng RM6, yang dibeli untuk ibu bapa suaminya sendiri.
Dia juga menceritakan bahawa suaminya sering menyimpan senarai perbelanjaan yang dibayar olehnya, dan akan menuntut bayaran balik dari isterinya apabila gaji wanita itu masuk.
“Dia bayarkan dulu nanti time i gaji dia akan bagi list items apa yang dia dah bayarkan dulu. Sampai macam ni sangat tahap berkira husband i,” jelas wanita itu dalam luahannya.
Situasi ini mencetuskan rasa simpati netizen yang rata-ratanya tidak dapat membayangkan bagaimana wanita itu boleh bertahan selama lapan tahun dalam hubungan sebegitu.
Ramai pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut dan kecewa.
Ada yang membandingkan hubungan pasangan ini seperti rakan serumah, namun lebih buruk.
“Even housemates pun tak sampai split pisang goreng RM6,” komen salah seorang netizen.
Seorang lagi berkata, “Tak percaya dia boleh bertahan selama lapan tahun,” sambil menyatakan rasa terkejut dengan kesabaran wanita itu.
Beberapa netizen juga mengkritik tindakan suami yang tidak sepatutnya berlaku dalam perkahwinan, di mana sokongan kewangan seharusnya lebih kepada perkongsian dan bukan perhitungan kecil-kecilan.