“Selagi dia bahagia, saya bahagia” – Phua Chu Kang ‘redha’ anak jadi ikon LGBTQ

“Selagi dia bahagia, saya bahagia” – Phua Chu Kang ‘redha’ anak jadi ikon LGBTQ

 

“Selagi dia bahagia, saya bahagia” – Phua Chu Kang ‘redha’ anak jadi ikon LGBTQ

Pelakon veteran Singapura, Gurmit Singh, yang terkenal di Malaysia dengan watak Phua Chu Kang, tampil berkongsi pandangan terhadap anak sulungnya, Worms, yang kini dikenali sebagai ikon queer iaitu salah satu cabang komuniti LGBTQ.

Dalam episod pertama siri baharu CNA, The Assembly, Gurmit membuka cerita tentang bagaimana beliau menerima anaknya yang berusia 27 tahun, seorang artis drag dan burlesque terkenal dengan nama pentas Lychee Bye.

“Pada akhirnya, dia tetap anak saya. Sehingga hari saya mati, saya akan tetap menyayanginya,” ujar Gurmit dengan nada tegas namun penuh kasih sayang.

Dalam sesi dalam siri The Assembly, Gurmit mengakui bahawa proses menerima anaknya sebagai sebahagian daripada komuniti queer pada awalnya adalah sukar.

“Dia memilih jalan itu, dan ia tidak mudah pada mulanya kerana dia berada dalam komuniti queer,” jelas Gurmit. Namun, beliau menegaskan bahawa sebagai ibu bapa, kebahagiaan anak adalah keutamaan.

“Saya juga membandingkan situasi ini dengan keputusan saya sendiri untuk menjadi pelakon, sedangkan ibu bapa saya mahukan saya menjadi peguam, hakim, atau polis. Jadi, walaupun kami mempunyai pandangan yang berbeza tentang kehidupan dan kerjaya, dia tetap darah daging saya. Selagi dia bahagia, saya bahagia,” tambah beliau.

Ketika ditanya tentang keselamatan fizikal dan mental anaknya, Gurmit menyatakan bahawa menjadi sebahagian daripada komuniti queer sebenarnya telah membantu Worms menjadi lebih berani.

“Dia dulu sangat pemalu dan takut akan pandangan orang lain,” kata Gurmit.

Tetapi sejak keluar sebagai queer, Worms menjadi lebih yakin dan bangga dengan dirinya.

“Dia bangga dengan kulitnya, dengan dirinya, dan bagaimana dia adalah dirinya sekarang. Jadi, dalam beberapa hal, saya boleh menghargai di mana dia berada sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Worms berkongsi di Instagram Stories bahawa dia kini mahu dikenali dengan nama Worms, bukan nama lahirnya.

Namun, dia memberi kelonggaran kepada bapanya, dengan berkata, “Panggil saya Worms, kecuali anda adalah ayah saya.”

Gurmit, yang turut berada dalam video tersebut, mengangguk setuju.