“Mungkin nak beli RON95 kena tunjuk kad pengenalan” – PM Anwar beri jaminan kerajaan tak naik harga petrol

“Mungkin nak beli RON95 kena tunjuk kad pengenalan” – PM Anwar beri jaminan kerajaan tak naik harga petrol

 

“Mungkin nak beli RON95 kena tunjuk kad pengenalan” – PM Anwar beri jaminan kerajaan tak naik harga petrol

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 untuk rakyat negara ini.

Perdana Menteri mengakui cadangan untuk menaikkan harga RON95 itu pernah dibentangkan di Kabinet sebelum ini, namun beliau tidak bersetuju dengannya.

“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON95… ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat.

“Namun, saya tak setuju naikkan (tetapi) harga petrol RON95 boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran.

“Namun harga petrol untuk empat juta orang rakyat asing di negara ini yang perlu dinaikkan… orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini, nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya menurut BH Online.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulung sempena hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025.

Pada 18 Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar menyentuh isu penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Tujuan cadangan berkenaan menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.

Penjimatan itu nanti, katanya akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini.

Justeru, Perdana Menteri menegaskan rakyat tidak harus musykil dengan pendekatan kerajaan yang akan mempertahankan kepentingan rakyat terbanyak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiada negara di dunia yang memberi subsidi petrol kepada golongan maha kaya termasuk yang memiliki deretan kereta mewah.

“Mana ada negara yang beri subsidi petrol pada yang ada Rolls-Royce terutama lima peratus golongan yang maha kaya negara ini.

“Namun golongan lima peratus ini suruh kita pertahankan mereka supaya dapat terus nikmati subsidi petrol,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan meneliti semula subsidi gas dan gas asli cecair (LNG), dengan kerajaan akan membaiki isu berkenaan, selain gesaan untuk melihat semula e-Invoice.

“e-Invoice kita akan kaji, ia sangat penting untuk negara tidak kehilangan hasil,” katanya.

Anwar turut menegur PKR tentang penyampaian isu subsidi elektrik kepada rakyat yang dilihat masih lemah, sehingga masyarakat gagal memahami hasrat kerajaan.

“Malaysia adalah negara paling tinggi subsidi. Subsidi elektrik sebanyak 85 peratus (rakyat) tak terkesan, namun cara kita sampaikan amat lemah kepada rakyat.

“Namun diakui isu gas LNG akan diteliti semula supaya ia tidak membebankan syarikat kecil yang diakui terbeban dengannya,” katanya.