Kekasih adik enggan buka purdah, rupanya perempuan ‘berloceng’

Kekasih adik enggan buka purdah, rupanya perempuan ‘berloceng’
Seorang pemuda tertipu apabila kekasih berpurdah yang sudah dikenali selama tiga minggu dan datang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarganya rupa-rupanya perempuan ‘berloceng’.
Kisah mengejutkan yang didedahkan kakak pemuda berkenaan, Maya Syuhada Rosley turut tular di media sosial.
Maya Syuhada berkata, pada awal perkenalan gadis tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Hidayah, berusia 25 tahun, anak yatim piatu, tiada adik beradik lain, berstatus mualaf, berasal dari Sabah namun menetap di Kuala Lumpur dan sedang belajar di Dubai.
Kata Maya, kisah bermula apabila Hidayah menyatakan hasrat untuk meraikan Syawal bersama keluarganya di Pontian, Johor dengan alasan sudah tiada ahli keluarga lain di Kuala Lumpur yang membuatkan ibu serta adik perempuannya mengalu-alukan kedatangan tetamu Istimewa mereka itu.

Purdah yang dipakai Hidayah terlucut ketika sedang lena tidur di sebelah ibu Maya.
“Sehari sebelum dia datang, ‘perempuan’ tersebut ada beritahu Izzati (adik Maya) yang saiz badannya sedikit besar selain berpesonaliti agak lasak seperti perempuan berperwatakan lelaki (tomboi).
“’Perempuan’ itu siap cakap dengan ibu tahun depan nak bawa (kami) semua balik Sabah. Jangan risau katanya, kos semua dia tanggung. Adik lelaki Maya cakap dia anak orang kaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Berkongsi lanjut, Maya berkata, akhirnya ‘perempuan’ terbabit yang dikenalinya adiknya menerusi aplikasi penstriman langsung, Bigo selamat tiba di Pontian pada Rabu lalu dengan menaiki bas ekspres sebelum diambil adiknya.
Maya mengakui pelik dan curiga apabila adiknya menghantar gambar sebenar Hidayah ekoran keadaan fizikalnya yang kelihatan seperti ‘mak orang’ dan berbeza dengan gambar gadis cantik yang dipaparkan di aplikasi Bigo.

Gambar Hidayah dan butiran peribadi Hidayah yang dikongsikan di aplikasi Bigo.
“Izzati pula seperti kucing nak beranak dah di rumahnya, tak keruan kerana tertanya-tanya betulkah itu orangnya atau penjahat. Aku juga fikir entah-entah dia isteri orang yang lari rumah dan sebab nak selamatkan diri jadi ikut adik aku, kalau suami dia buat laporan polis adik aku pula kena.
“Pada malam itu Hidayah tidur lambat kerana banyak habiskan masa di hadapan televisyen. Sewaktu berada di atas katil, ibu minta Hidayah suruh buka tudung dan purdah tetapi dia enggan dan kata sudah biasa tidur berkeadaan begitu,” ujarnya.
Bagaimanapun, rahsia akhirnya terbongkar apabila purdah Hidayah yang sedang nyenyak terlucut daripada wajahnya dan perkara itu disedari ibu Maya.
Kata Maya, Izzati juga menjumpai kad pengenalan sebenar ‘perempuan’ berkenaan yang jelas tertera identitinya lelaki selepas memeriksa begnya sebelum mereka membuat laporan mengenai kes tersebut kepada pihak polis.
“Bila polis desak dan tanya kenapa pakai macam ini. Dia jawab saya khunsa dengan suara yang garau. Sebelum ini memang tak ada keluar suara jantan. Elok suara kepit perempuan. Mungkin kami semua dah kena pukau sebab semudah itu bawa dia balik,” kongsinya lagi.

Kad pengenalan ‘Hidayah’ yang mendedahkan indentiti sebenarnya.
Justeru, Maya menasihatkan orang ramai supaya menjadikan kisah yang dihadapi keluarganya sebagai pengajaran dan tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.
“Untuk adikku takziah lah dapat awek berloceng. Lain kali cari awek solehah dan Muslimah tulen bukan cari yang cantik sahaja, sudahnya dapat yang hmmm,” selorohnya.