Perak bakal terima pelaburan RM800 juta, 4 ribu peluang pekerjaan

Perak bakal terima pelaburan RM800 juta, 4 ribu peluang pekerjaan

Perak bakal menerima pelaburan bernilai RM800 juta daripada pembinaan sebuah kilang sarung tangan getah di atas tanah seluas 18.3 hektar di Tapak Perindustrian Bemban II, Sungai Terap, dekat Batu Gajah.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, selain pelaburan tersebut, sebanyak 4,000 peluang pekerjaan juga bakal disediakan kepada rakyat tempatan.

Menurut beliau, pembinaan kilang tersebut melibatkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) serta syarikat Professional Latex Sdn Bhd dalam memperkukuhkan lagi industri berasakan getah di Perak.

Kataya, pelaburan yang dianggarkan mencecah RM800 juta secara keseluruhan akan melibatkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan bagi fasa pertama dijadual bermula pada tahun 2023 hingga 2024 membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

“Apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 billion sarung tangan setahun. Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar sebagai sebahagian daripada pendekatan penting kerajaan,” kata Saarani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara PKNP dengan Professional Latex Sdn Bhd di sini pada Rabu.

PKNP diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq sementara Professional Latex diwakili Pengarah Eksekutifnya, Lim Sin Kooi.
Saarani juga berkata, pelaburan tersebut bersifat strategik memandangkan penularan pandemik COVID-19 telah meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor yang berkaitan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Redza berkata, MOU yang ditandatangani merupakan sebahagian agenda PKNP dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi menarik lebih ramai pihak melabur di Perak. – AA