Pekerja pembersihan maut tersepit di lori sampah

Seorang pekerja pembersihan warga tempatan maut akibat kecederaan parah di kepala semasa menjalankan kerja pemungutan sampah menggunakan lori sampah di Taman Victoria, di sini pada Selasa lalu.
Difahamkan mangsa yang berusia 54 tahun itu berdiri di belakang sebelah kiri lori dan cuba mengalihkan kayu tersangkut di pintu “bucket” yang telah menghalang proses memampat muatan sampah.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir. Zamzurin Maarof, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pagi Rabu, sebelum menjalankan siasatan pada sebelah petang.
“Tangan kiri mangsa tertarik bahagian “lever” atau alat kawalan sistem hidraulik “bucket lifter” pada sisi kiri lori sampah yang menyebabkan “bucket lifter” diaktifkan dan terangkat seterusnya menghimpit kepala mangsa.
“Kepala mangsa tersepit di antara “bucket lifter” dengan bahagian tepi struktur belakang lori sampah.
“Mangsa mendapat kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 4 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Susulan itu katanya, jabatan telah mengarahkan majikan mengambil tindakan serta-merta bagi menyemak semula dan menambahbaik prosedur kerja selamat sedia ada serta latihan yang diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa pengendalian lori sampah.
Ujarnya, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti bahaya di tempat kerja.
“Selain itu membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,”katanya lagi.
Jelasnya lagi, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – SP