Pegawai kanan SPRM disyaki jadi tokan dadah

Pegawai kanan SPRM disyaki jadi tokan dadah

Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikaitkan dengan kehilangan duit barang kes bernilai RM25 juta yang ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dipercayai pembekal dadah di ibu negara.

Memetik laporan Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan penglibatan pegawai kanan itu dalam aktiviti pengedaran dadah diperoleh hasil keterangan beberapa orang saksi.

Bagaimanapun, kata sumber itu, siasatan lanjut  kini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, bagi mengenal pasti punca bekalan dadah berkenaan diperoleh.

“Siasatan awal mendapati, pegawai SPRM terlibat disyaki berperanan sebagai tokan namun rangkaiannya tidak terlalu besar.

“Setakat ini, siasatan  menjurus kepada rangkaian di mana bekalan dadah itu diperoleh dan hasil maklumat mendapati pegawai berkenaan disyaki telah membekalkan dadah kepada beberapa kenalannya,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pegawai SPRM berkenaan telah dibebaskan atau tidak,  sumber berkata, pegawai tersebut masih ditahan di bawak LPPK sehingga siasatan selesai.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, siasatan pegawai kanan SPRM dikaitkan dengan kehilangan duit barang kes bernilai  RM25 juta kini diletakkan di bawah LLPK kerana disyaki turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Penahanan pegawai gred 44 sejak 21 September lalu disambung 28 hari oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas pihak polis menerima maklumat baharu mengenai aktiviti jenayah yang dilakukan itu.

Ujian air kencing mendapati pegawai terbabit positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

Mengikut rekod, pegawai kanan berkenaan adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang disiasat berhubung kehilangan barang kes membabitkan duit RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 25 September lalu, Utusan Malaysia mendedahkan sejumlah dadah ditemukan di dalam beg milik penguasa kanan berkenaan semasa pemeriksaan di pejabatnya.

Pemeriksaan polis di rumah penguasa kanan itu turut menemukan 400 butir peluru bersaiz 9 mm (milimeter) beserta tiga kelongsong peluru bersaiz 9mm serta sepucuk pistol tiruan.

Malah, pemeriksaan lanjut di rumah pegawai berkenaan turut menemukan sepucuk senapang jenis pum gun jenama Benelli Armi selain 200 butir lagi peluru jenis 9mm dan tali sling (seutas), alat pembuka senjata (satu) serta senaskah buku manual penggunaan senjata.