Panas! RM2 bilion hanya untuk siapkan buku RMK-12 yang dibentangkan Ismail Sabri

Panas! RM2 bilion hanya untuk siapkan buku RMK-12 yang dibentangkan Ismail Sabri

 

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa lebih RM2 bilion dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan Buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, peruntukan tersebut yang diberikan kepada konsultan luar negara sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian, termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan Buku RMK-12.

“Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar). Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan Buku RMK-12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai.

“Tetapi saya masih yakin, maklumat dan perancangan dalam negara boleh dan mampu dikendalikan oleh kepakaran dalam negara kerana mereka lebih faham masalah dalam negara. Siapa boleh faham masalah kemiskinan dan kesenjangan dalam negara, bukan pakar-pakar konsultan luar,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menerusi RMK-12, kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion dalam RMK-12, selain menjangkakan ekonomi negara pulih dan mencapai pertumbuhan yang lebih kuat antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun setelah mengalami pergolakan pada akhir RMK-11 akibat pandemik COVID-19.

Sumber: Astro Awani