Padah suka baling batu pada kenderaan
Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kegiatan khianat membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar, di sini, semalam.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, di sini pada 6.10 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal EX-5 tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan khayal.
Katanya, suspek didapati positif methaphetamine dan melakukan kegiatan khianat itu berseorangan.
Menurutnya, lelaki itu turut mengaku ia dilakukan hanya untuk suka-suka selepas mengambil dadah.
“Suspek mengaku terbabit kejadian membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar.
“Dia mendakwa akan menyorok di pembahagi jalan dan pokok dalam satu-satu masa untuk membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Omar berkata, polis juga menemui enam ketul batu di bakul motosikal yang ditunggangi lelaki itu dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut pada poket belakang seluar suspek turut menemui satu tiub straw berisi ketulan kristal disyaki syabu.
“Suspek bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Ayer Tawar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Terdahulu tular dakwaan ada individu dikatakan menyorok di pokok dan akan membaling sesuatu secara rambang ke arah kenderaan di jalan raya dan turut mendakwa individu terbabit meletakkan batu besar di tengah jalan. – HM