Wanita kecewa order ‘onion ring’ tapi yang dapat bawang goreng tepung

Wanita kecewa order ‘onion ring’ tapi yang dapat bawang goreng tepung
Setiap individu pasti mempunyai makanan kegemaran yang disukai dan akan memesannya apabila teringin merasai makanan itu di restoran.
Walau bagaimanapun ada segelintir restoran yang membuat kelainan dengan menyediakan makanan berkualiti.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada restoran yang lebih memilih untuk membuat makanan mereka menggunakan bahan semula jadi berbanding yang sudah diproses.
Baru-baru ini, seorang wanita menjadi perhatian ramai apabila kedengaran seperti kecewa dengan makanan yang dipesan.
Menerusi video yang dikongsikan di X, awalnya kelihatan wanita itu menunjukkan makanan yang dipesannya iaitu ‘Onion ring’.
Katanya makanan tersebut dipesan untuk dimakan oleh anaknya namun onion ring yang didapatnya adalah bawang goreng yang dicelup dengan tepung.
Dalam video tersebut kelihatan pihak restoran berkenaan mengoreng satu persatu lapisan bawang berkenaan untuk diberikan kepada pelanggan berkenaan.
“Setahu aku, dia (bawang goreng) rangup tahu, tapi kenapa dapat bawang goreng tepung,” tulisnya dalam video.
Jelasnya lagi, dia selalu memesan onion ring tersebut namun sering mendapat yang sudah diproses dan tidak sangka kali ini mendapat bawang goreng dicelup tepung.
“Aku selalu dapat yang frozen (makanan sudah diproses) tu, yang dia macam crispy (rangup). Tak pernah dapat macam ni pula. Cuba komen-komen sikit, betul ke macam ni sebenarnya.
“Sebab dia memang betul-betul bawang, takkan lah aku nak bagi anak aku bawang macam ni,” katanya sambil mengeluh.
Melihat di ruangan komen, ramai yang keliru dengan luahan wanita tersebut kerana mahukan makanan frozen yang sudah diproses berbanding apa yang disediakan oleh restoran terbabit.
Ada juga berpendapat ia adalah makanan yang sama cuma cara pembuatan yang berbeza dengan yang sering dijual di beberapa kedai makanan segera.
Tidak kurang juga ada yang tidak faham mengapa wanita itu perlu berasa kecewa walhal ia adalah makanan yang lebih baik dan sedap berbanding makanan proses.