Niat ibu nak ajar anak erti susah cari duit, tak sangka pula anak raih RM6k jual ayam goreng
Rancangan seorang ibu di China yang mahu mendidik anaknya tentang kesusahan mencari wang dengan menjadi peniaga gerai tidak menjadi.
Ia selepas remaja berusia 17 tahun itu berjaya menjana pendapatan sehingga 10,000 Yuan (kira-kira RM6,000) dalam tempoh 10 hari.
Menurut South China Morning Post, hasil tidak dijangka itu diperolehi oleh remaja berkenaan selepas dia mula menjual ayam goreng.
Ibu remaja itu yang hanya dikenali sebagai Deng berkata, dia menyarankan anaknya berniaga di tepi jalan selepas prestasi pembelajaran remaja itu mula merosot.
Niatnya ketika itu mahu menyedarkan anaknya tentang kesukaran yang akan ditempuhi dalam mencari rezeki sekiranya dia tidak belajar bersungguh-sungguh dan meraih keputusan cemerlang.
Apatah lagi, remaja itu yang merupakan pelajar sekolah vokasional seni kulinari pernah memberitahu yang dia merasakan belajar merupakan perkara yang tidak bermakna.
Malah, remaja tersebut turut pernah mengutarakan hasratnya untuk berhenti sekolah.
Sebagai penjual ayam goreng selama tiga tahun, Deng memahami pahit jerih yang dialaminya setiap hari dalam mencari pendapatan di jalanan.
Justeru, Deng merasakan dengan membiarkan anaknya merasai realiti sebenar mencari duit akan menyedarkan remaja itu untuk memilih masa depan yang lebih baik.
Kemudian dengan bantuan Deng, remaja itu memulakan perniagaan sendiri dengan mengubah suai sebuah basikal eletrik untuk dijadikan gerai bergerak.
Namun, Deng merasa terkejut selepas anaknya berjaya meraih pendapatan yang banyak selepas hanya 10 hari berniaga.
Malah, motivasi anaknya terus meningkat dan remaja itu dikatakan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan tersebut.
Dia bangun awal pagi dan mula menyediakan bahan-bahan masakan seawal pukul 9 pagi setiap hari. Remaja itu kemudian mengayuh basikal itu sejauh 13 kilometer ke tapak niaga dan mula berniaga seawal pukul 4 petang.
Menurut Deng, anaknya hanya pulang ke rumah sekitar pukul 3 pagi selepas menjual ayam goreng sepanjang malam.
Remaja itu kemudian semakin bertekad untuk berhenti sekolah dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan ayam goreng tersebut.
Dia turut menyasarkan untuk membeli sebuah beca elektrik dalam masa terdekat untuk mengembangkan perniagaan berkenaan.
Sementara itu, Deng memberitahu dia ada memujuk agar anaknya meneruskan persekolahan. Namun, dia terpaksa akur dan menghormati keputusan anaknya untuk berhenti.
Apatah lagi, dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa anaknya ke dunia perniagaan.