MyDigital ID mohon maaf isu kesukaran pendaftaran pengguna
Pembangun aplikasi MyDigital ID memohon maaf atas kesukaran yang dihadapi pengguna ketika menggunakan Log Masuk Tunggal MyDigital ID di aplikasi MyJPJ.
Sehubungan dengan itu, pihaknya membuat pengumuman penangguhan penggunaan Log Masuk Tunggal MyDigital ID di aplikasi MyJPJ menerusi satu muat naik di laman Facebook.
“Kami ingin memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi para pengguna berhubung pengumuman mengenai penggunaan Log Masuk Tunggal MyDigital ID di aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober 2024.
“Bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, keputusan telah dibuat untuk mengangguhkan penggunaan Log Masuk Tunggal MyDigital ID untuk MyJPJ buat sementara waktu. Namun begitu, MyDigital ID masih boleh digunakan sebagai salah satu kaedah log masuk bagi memudahkan akses,” katanya.
Biarpun begitu, pihak MyDigital ID menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai penggunanya berikutan ia salah satu langkah melindungi identiti digital.
“MyDigital ID adalah langkah penting dalam meningkatkan keselamatan dan memudahkan akses kepada perkhidmatan digital. Kami menggalakkan semua rakyat untuk mendaftar MyDigital ID demi memastikan perlindungan identiti digital yang lebih selamat.
“Terima kasih atas sokongan berterusan anda. Identiti digital adalah hak milik setiap individu,” tambahnya.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ yang sepatutnya bermula 10 Oktober ini.
“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.
Beliau juga berkata terdapat kekeliruan berkaitan pengumuman di aplikasi tersebut.
“Maklumat yang disalurkan melalui pop-up MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.
“Saya lihat bahawa dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap penggunaan MyDigital ID.
“Kita telahpun mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai log in kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah
“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintgrasian secara back-end,” jelasnya.