Muzik terlampau kuat jadi punca puluhan ekor ayam mati akibat serangan jantung

Muzik terlampau kuat jadi punca puluhan ekor ayam mati akibat serangan jantung

 

LAZIMNYA, punca kematian haiwan ternakan seperti ayam disebabkan serangan jangkitan virus, keracunan makanan, cuaca panas atau sejuk terlampau dan pencemaran reban.

Tidak kurang juga, kematian unggas itu akibat dimakan ular, biawak dan anjing liar juga kerap didengari.

Pun begitu, percaya atau tidak, ayam boleh mati mengejut disebabkan serangan sakit jantung?

Bunyinya agak pelik kerana penyakit jantung kebiasaannya dihidapi manusia, namun siapa sangka, ayam pun juga berisiko.

Lapor gulfnews.com, kejadian yang berlaku di Bhubanewsar, India baru-baru ini begitu mengejutkan ramai pihak.

Mana tidaknya, 63 ekor ayam ternakan milik Ranjit Kumar Parida mati secara tiba-tiba.

Penternak itu mendakwa, kematian ayam tersebut disebabkan bunyi terlampau kuat berpunca daripada pesta perkahwinan berhampiran reban tersebut.

ayam sakit jantung

Sebelum kejadian buruk itu berlaku, bunyi bising daripada pesta berkenaan sudah mengganggu rutin ayam-ayamnya.

Apatah lagi, percikan bunga api, pancaragam dan tarian muzik tanpa henti sepanjang malam dikatakan telah menakutkan ayam tersebut sampai tidak boleh tidur lena.

Memetik laporan itu lagi, Ranjit sudahpun meminta pihak keluarga pengantin untuk memperlahankan muzik, namun tidak diendahkan.

ayam sakit jantung

Lagi teruk, lelaki itu dimarahi pula kerana dikatakan merosakkan suasana majlis tersebut.

Malangnya, apa yang dikhuatirinya menjadi kenyataan apabila bukan satu, tetapi lebih 60 ayam mati bergelimpangan pada keesokan harinya.

Selepas diselidik dan diperiksa doktor veterinar, ayam-ayam tersebut disahkan mati disebabkan serangan jantung.

Kematian unggas tersebut diperkuatkan lagi dengan kenyataan pakar zoologi di The West Bengal University of Animal and Fishery Sciences, Profesor Surya Kanta.

Beliau menjelaskan bahawa risiko penyakit kardiovaskular boleh berlaku dalam kalangan burung akibat gangguan pencemaran bunyi yang kuat.

Memetik katanya, bunyi yang kuat boleh mengganggu ritma jam biologi haiwan tersebut.

Apa lagi, bertambah beranglah penternak itu yang kemudiannya berjumpa dengan pihak penganjur untuk menuntut pampasan kerugian.

Keadaan bertambah kecoh apabila pihak penganjur enggan membayar membuatkan lelaki itu membuat laporan polis.

Pun begitu, suasana kembali tenang apabila pihak polis berjaya memujuk pihak penganjur untuk menyelesaikan isu tersebut dengan baik.

Kasihankan? Bukan murah kos untuk menternak ayam kerana semuanya memerlukan wang.

Seekor dua boleh dimaafkan lagi, namun jika berpuluh ekor mati serentak, memang terpaksa menanggung kerugian yang besar.

Apapun penulis memperoleh fakta baharu bahawa bunyi bising boleh menyebabkan kematian ayam ternakan. Bukan auta semata-mata ya!