Mulai 1 Jun, surat kebenaran MITI untuk perjalanan bekerja terbatal

Mulai 1 Jun, surat kebenaran MITI untuk perjalanan bekerja terbatal

Surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terbatal dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama yang berkuat kuasa mulai 1 hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan keputusan tersebut surat kebenaran perjalanan perlu dimohon kepada kementerian yang berkaitan.

“Jika mereka bekerja di bidang pertanian, mereka perlu memohon dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang membentangkan laporan mengenai perkembangan situasi Covid-19 negara. – Bernama