“Mohon kerja pun nak degree” – Pemuda lepasan SPM merungut tak dapat kerja cuci pinggan di Singapura

“Mohon kerja pun nak degree” – Pemuda lepasan SPM merungut tak dapat kerja cuci pinggan di Singapura

 

Ramai tertarik untuk bekerja di Singapura kerana tawaran gaji lumayan.

Maklumlah, nilai gaji di negara jiran itu berlipat kali ganda berikutan mata wang dolar Singapura lebih kukuh berbanding ringgit.

Dek kerana itu juga seorang lelaki menyuarakan minatnya untuk mencari rezeki di Republik itu sebagai pekerja basuh pinggan.

Tanpa menyatakan lokasi premis sama ada di restoran atau hotel, lelaki itu bagaimanapun kesal apabila mendakwa permohonannya ditolak gara-gara tidak memenuhi syarat kelayakan akademik.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, dia yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memaklumkan taraf pendidikan Ijazah Sarjana Muda (degree) diperlukan untuk kerja mencuci pinggan itu.

“Mohon kerja basuh pinggan pun nak degree. Yang SPM ni boleh kerja dekat Bangladesh saja ke macam mana?” luahnya di Facebook.

Luahan pemuda itu mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan dalam kalangan warga maya, sehingga seorang pengguna Facebook turut melontarkan pendapatnya dengan mengaitkan kedatangan rakyat Bangladesh ke Malaysia untuk bekerja di negara ini.

Baginya, keinginan pemuda itu untuk bekerja sebagai pencuci pinggan di Singapura menunjukkan seolah-olah di negara sendiri tiada tawaran pekerjaan.

“Cara kamu cakap ni buat macam Malaysia ni tak ada (peluang) kerja dah. Orang dari Bangladesh pun datang ke Malaysia.

“Kamu pula marah apabila tak dapat kerja di Singapura. Mulalah cakap nak kerja di Bangladesh pula. Orang macam kamu ni tak payah kerja di Singapuralah,” ujarnya.

Rata-rata warga maya menyifatkan situasi yang dihadapi pemuda itu sebagai sebahagian daripada dugaan dalam mencari sumber rezeki.

Malah mereka menjelaskan bahawa masih banyak syarikat di negara ini yang mengambil pekerja baharu dengan kelayakan SPM.

“Banyak lagi syarikat yang ambil (lepasan) SPM. Kenapa perlu kisah pasal yang satu tu? Kena belajar move on.

“Ada la kerja (untuk lepasan) SPM di Singapura, bahagian F&B (makanan dan minuman). Kena pandai cari je, dan pandai meyakinkan syarikat tu yang kamu betul-betul minat bekerja,” demikian antara komen netizen.

Pada masa sama, turut dilontarkan pandangan tentang mengapa sesetengah tempat kerja memerlukan kelayakan tinggi untuk kemasukan pekerja baharu.

“Ada beberapa sebab kenapa mereka pilih nak yang ada diploma atau degree. Salah satu sebab mereka cari yang berpendidikan adalah kerana sikap.

“Risau suruh ikut SOP (prosedur operasi standard) simple pun kena berkali-kali suruh. Silap sikit hilangkan diri tanpa surat berhenti kerja.

“Ramai je yang ada PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM kerja elok sampai ke hari ini. Kebanyakan mereka ni jaga attitude dan belajar untuk faham sesuatu,” katanya.