Isi penuh tapi meter minyak tak naik, rupanya ini sebabnya

Isi penuh tapi meter minyak tak naik, rupanya ini sebabnya

 

Isi penuh tapi meter minyak tak naik, rupanya ini sebabnya.

Anda perlu bertugas di luar kawasan, dan perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah isi minyak kereta dan tambah nilai TouchnGo dengan secukupnya agar perjalanan ke destinasi lancar.

Kereta dipandu masuk ke stesen berdekatan. Selepas pembayaran dibuat, minyak mula diisi sehingga penuh. Anda masuk semula ke dalam kereta dan hidupkan enjin sambil mata melihat takat meter tangki minyak naik sedikit demi sedikit. Dari ‘E’, takat meter semakin naik dan berhenti di takat ‘F’.

Dengan hati yang lega melihat minyak kembali penuh, anda teruskan perjalanan. Tiba-tiba takat meter tangki minyak merudum jatuh, kembali separas huruf ‘E’ umpama tak pernah naik.

Panik, pelik dan bermacam persoalan timbul. Baru isi tadi, dah habis? Tangki minyak bocorkah? Apa yang sedang berlaku?

Bertenang. Sebenarnya minyak yang anda isi tadi masih ada dalam tangki minyak.

Sistem yang digunakan untuk membaca takat minyak dalam tangki kereta ini dipanggil tolok bahan api atau fuel gauge. Ia berfungsi dengan menggunakan kawalan magnetik atau termostatik, lalu maklumat disampaikan kepada pemandu menerusi takat di papan pemuka kenderaan.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang apa yang berlaku, berikut dikongsikan penerangan ringkas daripada salah seorang mekanik di Altimat Auto Garage.

Menurut mekanik di sini, keadaan ini berlaku apabila pelampung yang ada di dalam fuel gauge tangki minyak anda rosak. Jadi, pelampung tersebut tidak dapat menghantar isyarat takat minyak yang sebenar ke meter di papan pemuka kereta.

“Jadi kalau dia punya wiring tak pun sensor yang masalah, memang paras minyak tu baca tak betul lah,” jelas mekanik tersebut.

Ini bermakna, minyak yang anda isi tadi memang ada di dalam tangki. Anda cuma perlu ke bengkel kereta untuk baiki fuel gauge yang telah rosak dan takat meter tangki minyak kereta anda akan kembali seperti biasa.