Asmuni turun padang, rai komuniti Meru Perdana 2 dalam suasana raya meriah

Asmuni turun padang, rai komuniti Meru Perdana 2 dalam suasana raya meriah
Komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh hubungan rakyat dan pemimpin jelas terbukti apabila Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak di DUN Manjoi, Dato’ Asmuni Awi, turun padang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penduduk Meru Perdana 2 malam tadi.
Majlis berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang disulami dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan rumah berhias dan pakaian tercantik kanak-kanak, di samping jamuan raya yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Dato’ Asmuni, yang turut menjadi juri pertandingan pakaian kanak-kanak, memuji usaha penduduk menganjurkan program berimpak tinggi seumpama ini.
“Sambutan seperti ini bukan sekadar merayakan Aidilfitri, tetapi menjadi simbol kepada kekuatan komuniti dan keutuhan semangat kejiranan. Inilah wajah Malaysia MADANI yang kita bina bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Persatuan Penduduk, En. Mohd Nazri Mohd Ariff, serta seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Pendekatan mesra rakyat seperti ini sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang menekankan keterlibatan masyarakat dalam pembangunan negeri secara inklusif dan harmoni.