Memalukan! Petugas stadium guna penyodok sampah, kertas keras tolak air bertakung

Memalukan! Petugas stadium guna penyodok sampah, kertas keras tolak air bertakung

 

MARUAH Malaysia sebagai tuan rumah Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 tercalar malam tadi.

Belum pun sepak mula aksi Harimau Malaya menentang Bahrain dimulakan, Malaysia menerima tamparan hebat apabila para petugas Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan penyodok sampah dan kertas keras menolak air hujan yang bertakung di atas padang.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Stadium Nasional Bukit Jalil dilabel antara venue tercantik dan termoden di rantau ini, namun kemudahan teknikal yang terdapat di stadium itu amat menyedihkan.

Memetik Malaysiapost, para peminat bolasepak pasti tidak menyangka untuk menyaksikan petugas stadium yang terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras yang biasanya digunakan menyapu sampah sebaliknya digunakan untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Situasi ini pastinya mengambil tempoh masa agak lama berbanding jika menggunakan jentera atau mesin menolak air yang lebih pantas dan efektif.

Hujan lebat yang turun selama sejam menyaksikan permukaan padang bertakung dan memerlukan masa untuk menunggu air surut.