MB Perak nasihat dekatkan diri dengan Tuhan, sabar hadapi ujian

MB Perak nasihat dekatkan diri dengan Tuhan, sabar hadapi ujian

Rakyat yang berdepan dengan masalah dan kekurangan makanan diminta segera memaklumkan perkara itu kepada pihak yang bertanggungjawab.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setakat ini pihaknya telah menggerakkan jentera bantuan di lapangan khusus membantu orang ramai yang memerlukan.

“Jika ada masalah, ada kekurangan makanan mengadu hal kepada yang mengetahuinya supaya kita dapat tolong… Insya-Allah.

“Setakat ini pun di negeri Perak, kita sudah turun padang, penghulu berada di lapangan, wakil rakyat samada Ahli Parlimen atau ADUN berada di lapangan.

“Jadi kita bersedia untuk membantu sekadar yang kita mampu,” katanya sebagai mengulas berhubung kempen bendera putih yang digerakkan warganet di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes bunuh diri yang semakin membimbangkan di negara ini dipercayai terkesan dengan pandemik COVID-19, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendekatkan diri dengan Tuhan selain sabar menghadapi ujian.

“Yang penting sekarang ini kita hendak mengingatkan kepada semua rakyat Perak khususnya supaya kita kena tenangkan diri, kalau orang Islam kita minta sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

“Apa juga kejadian yang sedang berlaku ini adalah merupakan ujian, bukan kita seorang saja yang diuji seluruh umat sedang diuji bukan di Malaysia sahaja tetapi juga di seluruh dunia.

“Ingat kalau kita rasa kita susah ada orang lain jauh lebih susah daripada kita,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani