MB Perak menghadap Sultan Nazrin mohon bubar DUN esok

MB Perak menghadap Sultan Nazrin mohon bubar DUN esok

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) petang esok.

Saarani yang mengesahkan perkara itu memaklumkan upacara menghadap akan disempurnakan di Istana Kinta, di sini kira-kira jam 2 petang.

Permintaan untuk membubarkan DUN Perak dibuat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Parlimen.

“Saya baru mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak untuk menghadap baginda petang esok.

“Pagi esok kita ada mesyuarat exco seperti biasa dan petang insya-ALLAH dalam pukul 2 saya diperkenan untuk menghadap Tuanku di Istana kinta,” katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di hadapan Sekolah Kebangsaan Dato’ Alaudin di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa semalam untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disyorkan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Jelasnya, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.