Masih trauma bunyi bising, wanita nyaris maut dihempap balak sembuh biarpun organ dalaman hampir rosak

Masih trauma bunyi bising, wanita nyaris maut dihempap balak sembuh biarpun organ dalaman hampir rosak

 

“Ketika berada di dalam ambulans saya hanya mampu meronta-ronta kerana kesakitan,” kata Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, mangsa rempuhan balak di Persimpangan Bendahara, di sini, mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Julai lalu.

Siti Norelyana yang ditidurkan selama 15 hari kini pulih sepenuhnya dan boleh berjalan seperti sedia kala namun masih memerlukan rehat dan rawatan susulan.

Difahamkan Siti Norelyana menerima rawatan selama 29 hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) sebelum dibenarkan pulang pada 7 Ogos lalu.

Menurut Siti Norelyana, sehingga kini dia masih trauma dengan bunyi kuat, selain kadang-kadang termimpikan lori balak sehingga membuatkannya terjaga.

Katanya, dia kini terpaksa tinggal di rumah kakaknya Roslinda Jusoh, 40, yang jauh dari jalan utama buat sementara waktu kerana masih trauma dengan bunyi bising.

“Mimpi saya bukan ketika hari kejadian, sebaliknya berkaitan lori balak membuatkan saya terkejut dan terjaga dari tidur.

“Saya tiada masalah melihat lori balak atau lokasi kejadian, tetapi tidak boleh mendengar bunyi kuat seperti tayar pecah.

“Alhamdulillah keadaan saya semakin pulih dan kini sudah boleh berjalan seperti biasa namun apabila berdiri terlalu lama rasa sakit belakang,” katanya ketika ditemui di Paloh 3, hari ini.

Katanya, dia terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan yang dijangkakan Disember ini sehingga keadaannya benar-benar pulih.

“Apabila sudah betul-betul pulih, saya akan kembali bekerja dan kembali merancang majlis perkahwinan.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya sepanjang menerima rawatan sehingga pulih,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Miss Kalsom Domea, 59, berkata dia bersyukur kerana anak keenam daripada tujuh beradik itu pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah berkat doa semua akhirnya Siti Norelyana pulih sepenuhnya dan boleh berjalan seperti biasa walaupun banyak mengalami kecederaan dalaman,” katanya.

Dalam kejadian pada 9 Julai lalu Siti Norelyana cedera parah apabila dirempuh kayu balak yang tergolek di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara.

Ketika kejadian, Siti Norelyana yang dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja mengalami kecederaan dalaman termasuk hati dan paru-paru selain patah tulang rusuk.

Polis mengesahkan kejadian berlaku berpunca daripada penyambung atau cakera putar (turntable) yang patah.