Mangsa kelima nahas motosikal meninggal dunia

Mangsa kelima nahas motosikal meninggal dunia

 

Seorang lagi mangsa kemalangan motosikal lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi kelmarin, meninggal dunia jam 2.15 petang tadi, menjadikan jumlah yang maut kepada lima.

Mohd Haziq Harris, 34, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan mengalami pelbagai kecederaan.

Bapa mangsa, Harris Shariff, 71, ketika ditemui reda dengan kejadian menimpa anaknya.

Beliau kali terakhir bertemu anak ketiganya itu ialah pada jam 11.30 malam sebelum kejadian dan Mohd Haziq membeli beberapa keperluan dapur.

“Saya nasihatkan Mohd Haziq tidak keluar bersama rakannya, tapi dia keluar rumah menunggang motosikal abangnya dan memberitahu mahu keluar sekejap sahaja.

“Memang hancur hati saya bila mengetahui dia terbabit kemalangan. Saya cuma ada cincin yang dibelinya beberapa bulan lalu sebagai kenangan,” katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran Permatang Tok Elong, Bukit Mertajam.

Sementara itu, adik mangsa, Siti Hadilah, 30, berkata mereka sekeluarga menerima kejadian itu dengan tenang,

“Semalam saya dan ayah doakan jika abang mahu pergi, pergilah dengan tenang kerana kami reda jika itu takdirnya.

“Selepas itu saya bermimpi abang naik tangga hingga ke atas, mungkin itu petanda dia mahu tinggalkan kami,” katanya ketika ditemui Berita Harian, hari ini.

Siti Hadilah berkata, Mohd Haziq seorang yang pendiam dan manja dengan bapa mereka.

Katanya, arwah menunjukkan sikap penyayang sejak kebelakangan ini walaupun mereka berdua tidak rapat sebelum ini.

“Dulu abang hanya buat hal sendiri, namun sejak akhir-akhir ini kami menjadi rapat dan dialah tempat saya mengadu semua masalah atau jika ingin bercerita.

“Kami selalu menasihatinya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal tetapi kini nyawanya berakhir dalam insiden seperti itu,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 4.40 pagi itu, tiga penunggang motosikal maut di lokasi manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPP.

Dua lagi mangsa masih dirawat di hospital sama. Mangsa yang

Terdahulu, mangsa yang maut ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22; dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.