Malaysia penyumbang terbesar ekonomi pelancongan Indonesia

Malaysia penyumbang terbesar ekonomi pelancongan Indonesia

 

Rakyat Malaysia adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi pelancongan Indonesia dengan data merekodkan bahawa kehadiran rakyat Malaysia ke Indonesia adalah antara yang tertinggi.

Melalui Data yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mendahului carta dengan 188,750 ribu pelancong Malaysia yang hadir ke Indonesia pada Ogos 2024.

Selain Malaysia, Australia dan China turut menyumbang jumlah kedatangan yang tinggi, dengan masing-masing mencatat 153,720 ribu dan 126,080 ribu kedatangan.

Singapura juga berada di senarai teratas dengan 125,510 ribu pelancong.

“Pelancong berkebangsaan Malaysia paling banyak masuk ke Indonesia melalui Bandara Soekarno Hatta, demikian pula Tiongkok. Sementara Australia paling banyak melalui Bandara Ngurah Rai,” kata Plt Kepala BPS, Amalia Adininggar Widyasanti seperti dilaporkan oleh CNBC.

Sektor pelancongan Indonesia kini mula bangkit setelah empat tahun berhadapan dengan COVID-19.

BPS merekodkan sepanjang lapan bulan pertama tahun 2024, sebanyak 9 juta pelancong dilaporkan telah berkunjung ke negara tersebut.

Angka ini menunjukkan jumlah kedatangan pelancong antarabangsa ke Indonesia dari Januari hingga Ogos 2024 sudah hampir sama dengan angka sebelum pandemik COVID-19.

Menurut perbandingan tersebut, pada tahun 2019, sebelum pandemik melanda, Indonesia mencatat 10.71 juta kedatangan pelancong dalam tempoh yang sama.

Walaupun angka terkini masih sedikit rendah berbanding sebelum pandemik, Amalia menyatakan ini adalah pencapaian tertinggi sejak pandemik bermula.

“Ini merupakan tertinggi sejak 2020, namun kalau dibandingkan dengan masa yang sama saat sebelum pandemi ini masih relatif lebih rendah,” kata Amalia dalam satu sidang media di Jakarta.

Bulan Ogos 2024 menyaksikan peningkatan yang positif dengan 1.33 juta kedatangan pelancong antarabangsa, naik 2.23% berbanding bulan sebelumnya.

Angka ini juga jauh lebih tinggi berbanding Ogos 2023 yang hanya mencatat 1.13 juta kedatangan, dengan peningkatan sebanyak 18.30%.

Kebanyakan pelancong tiba melalui laluan udara, dengan Bandara Ngurah Rai di Bali menjadi pintu masuk utama, mencatat 625,56 ribu kedatangan.

Sementara itu, Bandara Soekarno Hatta di Jakarta dan Bandara Juanda di Surabaya masing-masing menerima 272,84 ribu dan 38,58 ribu pelancong.

Laluan laut juga memainkan peranan penting, terutamanya melalui Pelabuhan Batam yang menerima 119,55 ribu pelancong, diikuti oleh Pelabuhan Tanjung Uban dan Tanjung Balai Karimun.

Laluan darat, walaupun jumlahnya lebih kecil, menyaksikan 10,02 ribu pelancong memasuki Indonesia melalui Atambua.