Malaysia dinobat negara ketiga di dunia paling malas jalan kaki
Malaysia dinobat negara ketiga di dunia paling malas jalan kaki
Rakyat Indonesia dan Malaysia dinobatkan sebagai paling malas untuk berjalan kaki di dunia, menurut kajian global Universiti Stanford yang menyenaraikan negara-negara yang kurang aktiviti berjalan kaki.
Indonesia tempat pertama, Malaysia berada di kedudukan ketiga.
Ini bukan sekadar gurauan — data ini menunjukkan krisis aktiviti fizikal di rantau Asia Tenggara.
Kajian ini melibatkan 717,000 individu dari 111 negara di seluruh dunia dan mengambil kira jumlah purata langkah harian setiap individu.
Rakyat Indonesia hanya mencatat 3,531 langkah sehari, jauh lebih rendah daripada purata global, iaitu sekitar 5,000 langkah.
Malaysia pula hanya sedikit “lebih baik” dengan 3,963 langkah sehari, sekaligus meletakkan kita dalam tiga teratas senarai ini.
Senarai penuh “Top 10 Negara Paling Malas Berjalan Kaki” adalah seperti berikut:
- Indonesia – 3,531 langkah
- Arab Saudi – 3,807 langkah
- Malaysia – 3,963 langkah
- Filipina – 4,008 langkah
- Afrika Selatan – 4,105 langkah
- Qatar – 4,158 langkah
- Brazil – 4,289 langkah
- India – 4,297 langkah
- Mesir – 4,315 langkah
- Greece – 4,350 langkah
Menurut kajian ini, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kenapa rakyat di negara-negara terbabit malas berjalan.
Antaranya adalah laluan pejalan kaki sering kali digunakan untuk parkir motor, dijadikan lokasi berniaga, atau bahkan tidak wujud langsung di kawasan tertentu.
Selain itu, di Indonesia dan Malaysia, penggunaan motosikal dan kereta adalah lebih utama.
Kebergantungan tinggi ini menjadikan berjalan kaki sesuatu yang dilihat tidak efisien.
Tambahan pula, faktor cuaca panas terik di negara tropika juga memainkan peranan.
Tetapi tahukah anda bahawa jumlah langkah harian yang rendah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan serius seperti obesiti, diabetes, dan penyakit jantung.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan agar setiap individu berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Namun, dengan realiti yang ada, negara-negara seperti Indonesia dan Malaysia masih jauh daripada sasaran ini.
Menurut pakar kesihatan, gaya hidup yang kurang sihat telah menjadi kebiasaan di kebanyakan bandar besar di Asia Tenggara, ditambah dengan ketiadaan kesedaran tentang pentingnya aktiviti fizikal.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu menitikberatkan pembangunan infrastruktur mesra pejalan kaki.
Kaki lima yang yang lebih luas, selamat, dan bebas dari gangguan kenderaan adalah langkah pertama.
Selain itu, kempen kesedaran kesihatan perlu diperhebat untuk menggalakkan rakyat bergerak lebih aktif.
Di pihak individu pula, sudah tiba masanya kita semua mengambil langkah kecil untuk menambah jumlah pergerakan harian.
Berjalan kaki bukan sahaja percuma, tetapi juga baik untuk kesihatan dan alam sekitar.