Selalu makan makanan viral, lelaki ini hidap diabetes tahap 2 di usia muda
Selalu makan makanan viral, lelaki ini hidap diabetes tahap 2 di usia muda
Hidup di zaman teknologi digital, media sosial memberikan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat seluruh dunia. Malah, ia bahkan turut menjadi penentu bagi gaya hidup seseorang.
Tidak kira dari segi fesyen, automotif, pelancongan dan pemakanan, ia sentiasa mempunyai ‘pengikut’. Namun, mahu tidak mahu kita harus akui bahawa pendedahan kepada media sosial secara keterlaluan boleh memberi kesan yang tidak baik untuk fizikal dan mental kita.
Makanan tular contohnya, ia kebiasaannya akan ‘dikejar’ oleh orang ramai sampaikan ada yang sanggup menunggu berjam-jam.
Bagaimanapun, makanan-makanan tersebut jika diambil dalam kadar yang keterlaluan akan membawa ‘malapetaka’ kepada kesihatan tubuh badan.
Seperti kisah seorang lelaki ini yang menghidap diabetes tahap 2 pada usia muda.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki berkenaan mengakui salah satu punca hadirnya penyakit itu adalah disebabkan gaya pemakanannya yang tidak sihat.
Menurutnya segala makanan tular akan dicuba olehnya tanpa memikirkan mengenai kesan yang mendatang.
“Saya kalau boleh taknak terlepas cuba makanan viral sebab semuanya nampak sedap-sedap sampaikan tak kisah kena beratur berjam-jam sekalipun.
“Ada sekali tu, saya pernah beratur sampai sampai 3 jam semata-mata nak beli roti viral,” katanya.
Apabila selalu makan makanan seperti itu, dia akui sudah tiada ‘selera’ untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat. Buah-buahan pun jauh sekali disentuh, apatah lagi sayur-sayuran.
Lebih menyedihkan, dia kini terpaksa menyuntik insulin sebanyak empat kali sehari. Jika tidak mengikut waktu yang ditetapkan dia mungkin akan mengalami beberapa masalah sekaligus membantutkan urusan seharian.
“Nak menyesal takde guna dah, nasi dah jadi bubur, sekarang dah jadi rutin kena cucuk insulin empat kali sehari.
“Bila makan pun dah berpada-pada, ambil makanan yang sihat je,” katanya lagi.
Kisah pemuda ini salah satu dari kes kesihatan yang sangat membimbangkan. Walaupun diabetes bukan penyakit berjangkit, tetapi ia menjadi kegusaran global kerana boleh memberi impak yang fatal kepada tubuh manusia.
Namun, perlu ditegaskan gula itu tidak jahat. Kita masih memerlukan gula, namun pengambilannya perlulah secara berpada-pada. Jika keterlaluan memang buruk padahnya.
Manakan tidak, Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019 memaklumkan bahawa 3.9 juta orang di Malaysia telah menghidap penyakit kencing manis. Selain itu, Prevalen diabetes di negara ini pada 2019 meningkat kepada 18.3% berbanding 13.4% pada tahun 2015. Ia termasuk golongan tua dan muda di negara ini, lapor Hello Doktor.
Jenis tahap diabetes
Tahap 1
Semua sedia maklum bahawa diabetes ada dua tahap iaitu tahap 1 dan tahap 2. Bagi diabetes tahap 1, insulin yang penting tidak dapat dihasilkan di dalam pankreas bagi menghantar glukosa kepada sel-sel yang memerlukannya.
Diabetes tahap 1 ini kebiasaannya dikesan pada usia kanak-kanak atau remaja dan ia juga tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan. Cara rawatannya adalah dengan suntikan atau pam insulin.
Tahap 2
Berbeza pula dengan tahap 2, ia berlaku disebabkan kerintangan insulin atau kekurangan penghasilan insulin. Tahap ini kebiasaannya dikesan pada umur 30 tahun ke atas dan dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan.
Ia juga berkait dengan kolesterol dan tekanan darah yang tinggi. Jika anda didiagnos diabetes ini anda perlu melakukan rawatan awal iaitu diet dan ubah gaya hidup yang sihat.
Jika pengambilan ubat tidak berkesan, anda perlu mendapatkan suntikan insulin.
Semoga kisah ini menjadi teladan untuk semua, nak makan makanan tular boleh, tapi jangan keterlaluan dan ‘merosakkan’ tubuh badan.